Petronas masih miliki beberapa baki aset di Sudan

- Gambar hiasan
- Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Petroliam Nasional Bhd (Petronas) berkata, kompleks pejabat, kediaman serta tanah yang menempatkan bangunan tersebut serta menjadi pertikaian dengan Sudan ketika ini, adalah antara beberapa baki asetnya yang masih ada di negara tersebut.

“Kami sudah tiada banyak aset lagi di Sudan. Selain tanah dan bangunan itu, kami mempunyai saham sebanyak dua peratus dalam syarikat yang mengendalikan sistem pengangkutan minyak mentah di negara itu.

“Saham ini pun akan diserahkan kepada kerajaan menjelang suku pertama tahun depan sebagaimana yang telah dipersetujui.

“Semua aset lain telah diserahkan kepada kerajaan setelah Perjanjian Perkongsian Eksplorasi dan Pengeluaran (EPSA) kami tamat tempoh pada 2014,” kata Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan Petronas, Adif Zulkifli kepada Bernama dalam temu bual pada Jumaat lepas.

Petronas telah bertapak di Sudan sejak 1996 dan bermula dengan aktiviti perniagaan huluan dan seterusnya hiliran.

Pada 2005, syarikat minyak dan gas negara itu bertindak menubuhkan NADA Property Co Ltd, anak syarikat yang membeli sebidang tanah di Khartoum bagi tujuan membina dan mengendalikan Kompleks Sudan Petronas yang turut menempatkan penyewa termasuk syarikat antarabangsa lain serta Kedutaan Besar Malaysia.

Seterusnya pada 2020, saham-saham anak syarikat itu secara unilateral telah dipindahkan kepada Kementerian Kewangan dan Perancangan Ekonomi Sudan.

“Kami membeli tanah itu secara sah mengikut saluran undang-undang ditetapkan dan bekerjasama dengan Kementerian Luar Malaysia bagi menggunakan semua saluran diplomatik dengan pihak berkuasa di Sudan untuk meleraikan isu tersebut,” kata Adif.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, memandangkan tiada sebarang perkembangan positif, Petronas telah bertindak memfailkan permohonan arbitrasi atau timbang tara di Pusat Antarabangsa bagi Penyelesaian Pertikaian Pelaburan (ICSID) berhubung perkara tersebut.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 13 Oktober 2021, Kementerian Luar berkata, walaupun perkara itu kini dalam prosiding timbang tara, ia berharap perkara terbabit dapat diselesaikan sewajarnya dengan mengambil kira dan memelihara hubungan lama yang terjalin antara Malaysia dan Sudan.

Menurut Adif, kehadiran Petronas yang lama di Sudah juga menyaksikan syarikat minyak dan gas negara itu berdepan pelbagai pengalaman.

“Kami sudah lama bertapak di sini dan tidak terkecuali mengalami pengalaman suka duka dalam usaha membangunkan perniagaan serta industri minyak negara itu dengan rakan niaga kami,” katanya.

Salah satu pengalaman terbabit adalah tindakan kerajaan Sudan mengeluarkan waran tangkap ke atas tiga rakan kongsi PetroDar Operating Company (PDOC) -- syarikat usaha sama dengan kepentingan Petronas, berkaitan dua dakwaan berasingan oleh kesatuan sekerja membabitkan kenaikan gaji minimum dan pampasan cuti.

PDOC kini masih dalam proses membatalkan waran tersebut yang disifatkannya sebagai satu tindakan salah.

“Malangnya, waran tangkap itu telah dikaitkan secara tidak tepat oleh banyak pihak media dengan prosiding undang-undang kami berhubung hak kami ke atas tanah dan Kompleks Petronas Sudan. (Sedangkan) ini adalah dua isu yang berbeza,” katanya.

Menurut Adif, Petronas mempunyai sebilangan kecil kakitangan yang sedang bertugas di Khartoum dan sering dihubungi syarikat itu yang sejajar dengan usaha berterusannya untuk memantau perkembangan berkaitan kedua-dua isu terbabit. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!