'Ibu tak sangka gurauan anak beri gaji terakhir jadi kenyataan'

Mardiah (tengah) tidak dapat menahan sebak menceritakan mengenai arwah anaknya kepada Anthony (kanan) ketika menerima kunjungan Perkeso, baru-baru ini.
Mardiah (tengah) tidak dapat menahan sebak menceritakan mengenai arwah anaknya kepada Anthony (kanan) ketika menerima kunjungan Perkeso, baru-baru ini.
A
A
A

TELUK INTAN - Seorang ibu tidak menyangka gurauan anaknya memberikan gaji terakhir kepadanya menjadi kenyataan selepas anak lelakinya itu maut dalam kemalangan 25 Februari lalu.

Mardiah Abdullah, 58, dari Taman Desa Aman, Jalan Maharajalela, Teluk Intan, tidak dapat menahan sebak mengenangkan nasibnya kehilangan anak kedua, Abdul Rashid Abdul Rahman, 29, yang meninggal di KM372 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), Slim River.

Lebih menyayat hati, Mardiah tidak terfikir walaupun arwah anaknya pernah memaklumkan itu kali terakhir dia memberi wang hasil gajinya kepada emaknya, anak lelakinya itu tetap menunaikan tanggungjawab apabila dia dimaklumkan bakal menerima wang faedah tanggungan dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menurut Mardiah, Allahyarham Abdul Rashid yang bekerja sebagai kelindan lori meninggal dunia selepas dihempap sebiji tayar lori yang dipercayai tercabut daripada sebuah lori tangki ketika dia berhenti di lorong kecemasan.

"Hari itu dia keluar pergi kerja macam biasa sebelah pagi, tetapi sebelah malam anak perempuan saya menerima panggilan mengatakan adiknya kemalangan dan dia pergi ke Hospital Slim River.

"Saya amat sedih mengenangkan nasib kehilangan seorang anak yang sangat baik dan biasanya kalau balik rumah dia akan tanya mak ada nasi tak nak makan, sekarang tiada lagi," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Perkeso Teluk Intan, di kediamannya, di sini, baru-baru ini.

Bagi Sohana Mohd Rasid, 38, kehilangan adiknya itu amat dirasai kerana hubungan mereka rapat dan tinggal berdua bersama emaknya sejak kecil lagi.

"Apa yang saya sedih adalah sehingga hari ini, kami tidak tahu siapa yag bertanggungjawab menyebabkan kematian adik saya, kerana tidak ada pihak yang tampil memohon maaf.

Artikel Berkaitan:

"Saya masih teringat gurauan akhir adik saya, 7 Februari dia cakap itu gaji akhir dia bagi dekat mak dan minta saya jaga emak dan diri saya baik-baik," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perkeso Perak Anthony Arul Dass yang hadir menziarah keluarga berkenaan berkata, hasil semakan skuad prihatin Perkeso Teluk Intan mendapati Abdul Rashid merupakan salah seorang pencarum Perkeso.

"Kami bersimpati dengan apa yang menimpa keluarga ini dan kami telah menyampaikan cek pengurusan mayat kepada waris mangsa bagi meringankan beban mereka.

"Ibu mangsa, Mardiah akan menerima wang faedah tanggungan Perkeso secara bulanan dan kami memaklumkan kepada beliau sekiranya memerlukan sebarang maklumat dari segi faedah tersebut boleh berkunjung ke pejabat Perkeso Teluk Intan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!