Amalkan empat sifat utama Rasulullah SAW
SHAH ALAM - Umat Islam digalakkan untuk mengamalkan empat sifat utama Nabi Muhammad SAW iaitu siddiq, amanah, tabligh dan fathonah sebagai salah satu usaha untuk menghapus amalan rasuah dan salah guna kuasa.
Pengarah Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik (Syarak) Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr Mohd Farid Mohd Shahran berkata, sebagai umat Islam, sifat-sifat itu perlu diketengahkan kerana ia merupakan prasyarat kepada integriti Nabi Muhammad SAW.
Beliau berkata, empat sifat utama tersebut merupakan sunnah yang paling mencabar untuk diikuti.
“Siddiq membawa maksud bersifat benar, amanah dalam kehidupan, serta tabligh iaitu menyampaikan. Dalam konteks rasuah, kita perlu telus dalam apa jua keadaan. Contohnya, jika kita tahu tentang maklumat rasuah, kita perlu sampaikan.
“Selain itu, sifat fathonah iaitu bijaksana juga perlu diterapkan dalam diri. Bukan sekadar ada ilmu dan maklumat, tapi kita juga bijaksana iaitu tahu apa yang harus dilakukan pada masa dan keadaan yang sesuai.
“Hari ini saya lihat ramai orang mahu ikut sunnah Nabi Muhammad SAW, tapi banyaknya hanya minat ikut dari segi pemakaian dan pemakanan, sedangkan ini merupakan sunnah yang agak mudah untuk diikuti,” katanya ketika 'Forum Kesejahteraan Ummah' bertajuk 'Siddiq-Amanah- Tabligh-Fathonah: Menghapus Amalan Rasuah dan Salah Guna Kuasa' yang berlangsung secara dalam talian pada Isnin.
Forum berkenaan anjuran Yayasan Ohsem Malaysia dan Program Gerak Prihatin.
Mengulas lanjut, Mohd Farid Mohd Shahran berkata, sebagaimana Rasulullah SAW mempunyai amanah besar yang diberikan ALLAH SWT, maka dalam konteks masyarakat kini khususnya orang Islam juga adalah insan yang dicipta oleh Tuhan untuk menyampaikan amanah.
“Empat sifat ini seperti mana penting untuk Nabi Muhammad SAW dalam konteks memperkukuhkan integriti bagi membawa amanah dan ajaran Islam, begitu juga dalam kehidupan hari ini, kita ada amanah yang harus dilaksanakan.
“Kita juga ada amanah tambahan yang diberikan atas kapasiti, contohnya, sebagai petugas di pejabat atau sebagai ibu bapa. Kehidupan ini penuh dengan amanah,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Sekretariat #Rasuah Busters, Nurhayati Nordin berkata, Rasuah Busters adalah gerakan massa yang dimulakan rakyat atas kesedaran untuk menyelamatkan negara dan generasi kini serta akan datang.
Beliau berkata, pada 11 September lalu, Rasuah Busters bersama lebih 400 gabungan membentangkan enam tuntutan terhadap kerajaan; antaranya pelaksanaan dan sokongan penuh ke atas Pelan Antirasuah Nasional (NACP), pelaksanaan Akta Pembiayaan Dana Politik dan kebebasan; serta ketelusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara.
“Tuntutan tersebut sebagai usaha untuk kita melakukan sesuatu agar integriti dapat ditanam dalam jiwa rakyat.
“Rakan-rakan gabungan kita mempunyai misi tersendiri dengan latar belakang yang pelbagai. Ini membuktikan gerak kerja salah laku rasuah ini berlaku kepada semua dan beri impak kepada seluruh ekosistem.
“Kita bergabung bersama menentang musuh yang sama di mana gerakan ini menjadi satu strategi unik tetapi berkesan, yang mana kita tidak meletakkan sepenuh tanggungjawab kepada pihak berwajib,” ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!