Rumah pekerja binaan musnah terbakar
KUALA LUMPUR - Tempat tinggal pekerja di sebuah tapak pembinaan di Persiaran Pertahanan di sini musnah dalam satu kebakaran pada Isnin.
Komander Operasi, Penguasa Bomba Muhammad Ridhwan Kamarulzaman berkata, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada jam 11.04 pagi.
"Seramai 55 anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Wangsa Maju, Jalan Hang Tuah, Sentul, Setapak dan Gombak bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, setibanya jentera bomba di lokasi kejadian pada jam 11.11 pagi mendapati, kebakaran melibatkan bangunan dalam pembinaan dan keadaan api sangat marak.
"Kebakaran berlaku di tingkat dua kawasan parkir yang dijadikan tempat tinggal pekerja dan penyimpanan peralatan pembinaan," katanya.
Beliau berkata, tindakan operasi pemadaman kebakaran telah dilakukan oleh anggota Bomba dan Penyelamat dari luar bangunan bagi mengawal kebakaran daripada merebak.
"Kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada jam 11.51 pagi, keluasan kebakaran dianggarkan seluas 15.24 meter x 60.96 meter yang terbakar 100 peratus.
"Tiada mangsa yang terlibat dan punca kebakaran masih dalam siasatan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!