Ahli Dewan Negara terima Jurnal Parlimen Malaysia

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli-ahli Dewan Negara pada Isnin menerima Jurnal Parlimen Malaysia Jilid 1-2021 yang merupakan jurnal ilmiah dengan capaian terbuka dan tinjauan semula setara dua pihak, selain mengandungi 11 artikel ditulis tokoh tempatan, pakar perundangan serta ahli Parlimen.

Parlimen Malaysia dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan jurnal berkenaan diterbitkan secara tahunan oleh Bahagian Penyelidikan dan Perpustakaan, Parlimen Malaysia.

Menurut kenyataan itu, objektif utama penerbitan jurnal itu adalah untuk menerbitkan kajian-kajian yang memberi fokus kepada fungsi, perundangan, amalan dan tatacara Parlimen, serta perkara berkaitan hal ehwal ahli Parlimen.

“Bagi memastikan Jurnal Parlimen Malaysia menepati piawaian antarabangsa dan kualiti penerbitan jurnal, satu Lembaga Editorial telah ditubuhkan yang dianggotai 11 orang ahli akademik dari universiti tempatan dan antarabangsa, serta pakar-pakar dari pelbagai agensi,” menurut kenyataan itu.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim sebelum ini menyempurnakan Majlis Serahan Jurnal Parlimen Malaysia kepada Ahli Dewan Negara, di Dewan Negara di sini.

Jurnal tersebut juga boleh diakses secara dalam talian menerusi https://journalmp.parlimen.gov.my iaitu portal yang disumbangkan Parlimen kepada awam, melalui perkongsian kajian dan penulisan ilmiah berkaitan fungsi serta peranan legislatif dalam sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan di Malaysia.

Menurut kenyataan itu, ahli akademik dan orang ramai yang berminat dialu-alukan menghantar penulisan ilmiah untuk penerbitan Jilid 2 melalui portal berkenaan dengan tarikh tutup penghantaran pada 30 November ini. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!