Pemimpin, ulama perlu berganding bahu hapus rasuah: Sultan Nazrin

Sutan Nazrin
Sutan Nazrin
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin negara termasuk ulama tidak boleh memejamkan mata, memekakkan telinga dan membisukan lidah terhadap perbuatan rasuah yang berlaku di dalam negara, titah Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Baginda bertitah, pemimpin dan ulama seharusnya berganding usaha dan tenaga bagi berjihad menghapuskan gejala rasuah yang terbukti menjadi punca penderitaan warga dan kemiskinan rakyat.

Sultan Nazrin bertitah, ketika umat Islam di Malaysia berada dalam keadaan gundah dan gelisah, pemimpin mempunyai peranan besar untuk mewujudkan dunia yang aman dan kehidupan yang sejahtera.

“Ummah, merindui kepimpinan yang adil lagi saksama, kepimpinan yang berani menegakkan kebenaran dan tegas melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

“Ummah merindui kepimpinan yang tidak melakukan kezaliman, tidak menindas, tidak menipu dan tidak bersifat munafik.

“Ummah semakin menyuarakan kerinduan untuk dianugerahkan kepimpinan yang tidak rasuah, tidak menyalahgunakan kuasa, tidak mengamalkan nepotisme dan tidak bersifat pecah amanah,” titah baginda dalam Perutusan sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan pada Isnin.

Pada masa sama, baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap begitu banyak gejala rasuah yang dilaporkan berlaku di dalam negara.

“Berdasarkan berita yang dilaporkan, perlakuan rasuah kini bukan sahaja berlaku secara berleluasa, malah berlaku pada skala yang besar.

Artikel Berkaitan:

"Lebih membimbangkan, apabila turut dilaporkan rasuah dilakukan secara lebih berani dan terbuka,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, aspek integriti dan akauntabiliti terhadap umat Islam dan ALLAH merupakan antara perkara yang disabdakan Rasulullah ketika menyampaikan khutbah terakhirnya di Arafah pada 9 Zulhijah tahun ke-10 Hijrah.

“Rasulullah tidak sekadar mengungkapkan kata tetapi kata-kata yang diungkapkan mencerminkan amalan kepimpinan yang berintegriti tinggi.

“Banyak kisah yang dapat dipetik, banyak peristiwa yang boleh dijadikan contoh akan sifat integriti tinggi Rasulullah, terutama pendirian tidak memberi keistimewaan kepada anggota keluarga atau kenalan terdekat, serta tidak terpengaruh dengan sogokan dan imbuhan,” titah baginda.

Sultan Nazrin turut bertitah bahawa Rasulullah juga tidak pernah menyalahgunakan status seorang rasul untuk merebut kuasa dan membina kekayaan diri serta keluarga.

“Rasulullah tegas, tidak sama sekali menggadaikan prinsip, cekal setia menjunjung amanah dan perintah Ilahi,” titah Sultan Nazrin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!