Piala Thomas: Norza kecewa pemain sandaran gagal sumbang mata

Mohamad Norza (kiri) ketika sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Pejabat SEAGF yang diadakan secara maya di Wisma Majlis Olimpik Malaysia pada Isnin. - Foto Bernama
Mohamad Norza (kiri) ketika sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Pejabat SEAGF yang diadakan secara maya di Wisma Majlis Olimpik Malaysia pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengakui kecewa dengan beberapa pemain sandaran negara atas kegagalan menyumbang mata pada kempen Piala Thomas di Aarhus, Denmark baru-baru ini.

Pemain dimaksudkan Mohamad Norza adalah perseorangan utama negara Lee Zii Jia serta pasangan beregu Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang diletakkan harapan mengutip mata pada pertembungan peringkat suku akhir berdepan Indonesia.

Beliau berpuas hati Malaysia mencapai sasaran ke suku akhir pada kejohanan berprestij itu bagaimanapun berkata, kegagalan Zii Jia dan Aaron-Wooi Yik membuktikan barisan pemain muda negara masih dihimpit isu konsistensi dalam permainan.

“Yang keduanya dari segi kekuatan mental dan fizikal. Kita lihat bermula dari Piala Sudirman sampai ke Piala Thomas dan Uber kemudian Terbuka Denmark minggu depan, dari segi ketahanan dan kelestarian mereka, staf sains sukan dan jurulatih perlu melihat perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Pejabat Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) secara dalam talian di Wisma OCM di sini pada Isnin

Pada aksi suku akhir Jumaat lepas, Malaysia tewas 0-3 kepada musuh tradisi Indonesia sekali gus gagal membalas dendam kekalahan edisi 2018 kepada lawan sama di peringkat yang sama.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia terpaksa menunggu lagi untuk menamatkan kemarau hampir 30 tahun kejuaraan Piala Thomas sejak kali terakhir bergelar juara pada 1992 di Kuala Lumpur, sementara kali terakhir skuad negara mara ke final kejohanan itu adalah pada 2014 di India.

Mengambil contoh aspek stamina dan ketahanan mental pemain perseorangan Indonesia Jonatan Christie, Mohamad Norza mengidamkan barisan pemain negara mampu mencapai tahap tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Jika kita tengok Jonatan Christie dia bermain setiap hari (di Aarhus) hampir satu jam tapi beliau masih boleh bertahan dan menyumbang mata, saya rasa pemain kita perlu dipersiapkan seperti itu,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!