Abang lemas ditarik ombak besar selepas selamatkan adik

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

LUMUT - Seorang lelaki lemas selepas berjaya menyelamatkan adiknya yang dibawa ombak ketika mandi di pantai Teluk Senangin di sini pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, mangsa, Asna Hazim Ahmad Kamal, 24, berjaya menyelamatkan adiknya, Aqil Haziq, 12, daripada ditarik ombak sebelum dia pula dibawa arus.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, siasatan mendapati, mangsa bersama enam ahli keluarganya dari Seri Iskandar mengadakan aktiviti berkelah di pantai berkenaan.

"Mangsa cuba untuk menyelamatkan adiknya yang ditarik oleh ombak besar dan dia berjaya menolak adiknya ke tepi pantai.

"Tiba-tiba datang lagi ombak besar lalu menarik mangsa ke tengah laut. Tidak lama kemudian mangsa telah dijumpai terapung di tengah laut dan diselamatkan oleh ayahnya," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, mangsa yang tidak sedarkan diri ini telah dibantu oleh orang awam dengan melakukan bantuan pernafasan.

"Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan menuju ke Hospital Seri Manjung.

"Hasil bedah siasat mendapati sebab punca kematian adalah lemas. Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!