Jalani ujian Covid-19 sebelum lakukan aktiviti pelancongan
KUCHING - Rakyat Malaysia yang ingin melakukan aktiviti pelancongan digalakkan untuk menjalani ujian pengesanan Covid-19 sebelum memulakan perjalanan, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri.
Kerajaan telah mengumumkan aktiviti rentas negeri tanpa memohon kebenaran polis bermula 11 Oktober lepas dengan syarat telah lengkap menerima dua dos vaksinasi.
Beliau berkata, sekiranya bergejala, adalah seeloknya ditangguhkan dahulu perjalanan kerana tindakan ini tidak dapat membantu kerajaan untuk memutuskan rantaian serta mengawal penularan Covid-19 dalam kalangan masyarakat.
“Seronok-seronok juga, tetapi perlu diingatkan bahawa kehidupan kita hari ini tidak lagi seperti dahulu kerana Covid-19 masih berada dalam persekitaran kita,” katanya ketika berucap pada majlis Penyampaian Bantuan Kewangan kepada Penggiat Industri Pelancongan di sini.
Nancy yakin dengan pembukaan rentas negeri ini sektor pelancongan, seni dan budaya, akan pulih dan seterusnya dapat membina kembali kekuatan ekonomi negara.
“MOTAC juga akan terus memastikan kempen promosi yang lebih agresif dan strategik dilaksanakan, bagi merancakkan kembali sektor pelancongan negara,” kata Nancy.
Pada majlis itu, 10 Pemandu Pelancong, 10 Pengusaha Pelancongan, empat individu bagi Program Malaysia My Second Home serta empat individu pengusaha inap desa berdaftar di bawah MOTAC menerima bantuan kewangan berjumlah RM 500 hingga RM3,000.
Secara keseluruhannya, MOTAC mengagihkan sejumlah RM61 juta bantuan dan insentif merangkumi Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) 2021, Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa+) 2021, Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) 2021 dan Geran Khas Prihatin 2021.
Tambahnya, bantuan dan insentif ini diagihkan kepada penggiat industri pelancongan di negara ini sejak awal pandemik Covid-19 secara berperingkat. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!