Masih jadi nelayan walaupun sudah berumur 100 tahun
SYDNEY - Seorang warga emas yang dikenali sebagai Santos masih lagi menjadi nelayan di Australia walaupun umurnya sudah mencecah sehingga 100 tahun.
Dia masih meneruskan kerjaya itu dengan menangkap ikan bersama seorang anak lelakinya, Robert yang berusia 71 tahun di Teluk Broken, utara Sydney.
Santos menangkap ikan hanya untuk dua malam bagi setiap satu seminggu dengan menggunakan sebuah bot.
Menurut Jabatan Industri Utama - Perikanan, New South Wales (NSWDPIFisheries) pada Isnin, warga emas itu akan menyambut ulang tahun kelahirannya yang 101 pada bulan depan.
Kedua-dua mereka selalu patuh dengan peraturan dan sentiasa bersikap sopan ketika berhadapan dengan pegawai-pegawai perikanan.
Cerita yang dikeluarkan oleh jabatan berkenaan di akaun Facebooknya kemudian mendapat komen daripada pengguna-pengguna laman sosial itu yang memuji bapa dan anak tersebut sehingga menganggapnya sebagai khazanah negara.
"Itu menakjubkan! Mesti ada sesuatu di dalam air yang menyebabkan mereka mempunyai hati seperti orang muda," kata seorang nelayan di laman sosial itu.
Seorang lagi pengguna Facebook menyatakan bahawa dia mengenali Robert dan menganggapnya sebagai seorang yang bersopan-santun dan lelaki yang amat istimewa.
Dia juga seolah-olah tidak percaya bahawa Santos masih lagi sihat untuk keluar untuk menangkap ikan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!