Sultan Mizan seru rakyat ambil vaksin elak mudarat lebih besar

Sultan Mizan Zainal Abidin
Sultan Mizan Zainal Abidin
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru rakyat menerima baik saranan kerajaan untuk melengkapkan pengambilan vaksin Covid-19 sebagai ikhtiar mencegah penyebaran penyakit serta menghalang mudarat lebih besar.

Menurut Baginda, langkah tersebut perlu diambil bagi memastikan tahap keselamatan diri dan individu lain terpelihara seterusnya dapat menjalani kehidupan seperti biasa.

"Nabi Muhammad SAW mengingatkan umatnya agar menjauhi sebarang bentuk kemudaratan atau memudaratkan orang lain menerusi sabda Baginda yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah yang bermaksud 'Tidak boleh (menjerumuskan diri kepada) mudarat dan tidak boleh memudaratkan (orang lain)'.

"Beta dan Sultanah mendoakan dan memohon ke hadrat Ilahi agar negara kita kembali pulih daripada pandemik Covid-19 dan seluruh rakyat jelata dapat menjalani kehidupan seperti sedia kala," titah Baginda.

Baginda bertitah demikian sempena merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu Tahun 1443 Hijrah yang diadakan secara dalam talian pada Isnin malam.

Dalam perkembangan sama, Baginda menitahkan setiap umat Islam mengambil berat antara satu sama lain terutama mereka yang terjejas dari segi ekonomi disebabkan impak Covid-19.

"Disebabkan pandemik ini ada antara kita kehilangan insan tersayang, anak-anak menjadi yatim piatu, ada yang hilang pekerjaan, kurang pendapatan dan pelbagai lagi masalah yang perlu ditangani dan diberi perhatian.

"Justeru, beta suka mengingatkan semua pihak yang menjadikan Rasulullah SAW sebagai ikutan, perhatikan jiran tetangga yang memerlukan bantuan dan sokongan kerana ramai dalam kalangan kita mengalami kesulitan serta perlu diberi perhatian sewajarnya, " titah Baginda.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, sempena sambutan Maulidur Rasul kali ini, Sultan Mizan menitahkan setiap masjid dan surau mengalunkan bacaan selawat setiap kali selepas solat Isyak.

"Tahun ini merupakan tahun kedua kita menyambut Maulidur Rasul dalam suasana berbeza disebabkan pandemik yang melanda seluruh dunia. Tiada perhimpunan berskala besar sambil mengalunkan selawat, zikir dan tahmid sebagai tanda kecintaan kita kepada Baginda Rasulullah SAW.

"Namun ia bukan alasan untuk kita melupakan rasa cinta dan kasih kepada Baginda Nabi SAW. Justeru beta menyeru sepanjang bulan kelahiran Baginda SAW, semua masjid dan surau mengalunkan selawat setiap kali selesai menunaikan solat isyak.

"Walaupun dalam ruang waktu dan suasana terbatas, ia tidak sekali-kali menghalang kita daripada mengingati Baginda SAW dengan memperbanyakkan selawat," titah Baginda.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!