'Saya serahkan nasib saya, tiga lagi kepada PH' - Idris Haron

Datuk Seri Idris Haron
Datuk Seri Idris Haron
A
A
A

AYER KEROH - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron memaklumkan beliau dan tiga lagi rakannya, menyerahkan nasib mereka kepada pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH) sama ada diangkat sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka atau sebaliknya.

Tanpa menjelaskan dengan lanjut sama ada mereka mahu bertanding atas tiket PH atau tidak, beliau secara berkias menyifatkan keempat-empat mereka adalah 'pendatang'.

Jelas Idris, ketika ini keempat-empat mereka yang bertindak menarik sokongan terhadap Kerajaan Negeri Melaka sehingga terbubarnya Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lalu, akur dengan sebarang keputusan dibuat.

"YB (Yang Berhormat) Adly (Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari) cakap tadi dia akan bawa (pencalonan) ke atas (pucuk pimpinan PH)... saya ni kata, sebagai pendatang kita... We don't make a call, we don't call a shot.

"Jadi kita serahkan nasib kita kepada mereka (pucuk pimpinan) dan kita tak mahu dipandang seperti melukut, masuk tak menambah keluar tak meluak.

"Kita ada budaya, kita tak boleh memilih... maksud saya biar PH memikirkan nasib kita," katanya yang turut enggan menjawab soalan sama ada mereka mahu menjadi calon mesra PH dalam PRN berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Astro AWANI di sebuah hotel di Ayer Keroh malam Isnin.

Tambah Idris, gabungan membabitkan empat bekas ADUN itu bersama 11 lagi ADUN PH Melaka boleh membentuk kerjasama yang kuat.

Artikel Berkaitan:

"Sebab dalam 15 orang ini kami ada satu gabungan, empat campur 11 dah membentuk majoriti merupakan satu semangat kami dukung.

"Jadi saya cuma menaruh harapan kepada PH. Masuk mana-mana parti? Saya tidak tahu, saya masih tidak membuat sebarang keputusan dan saya yakin memerlukan lebih masa untuk memikirkan," katanya ditanya sama ada mahu menyertai PH atau parti lain.

Terdahulu, Idris bersama tiga lagi rakannya iaitu bekas ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee; bekas ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad dan bekas ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan hadir dalam Majlis Taklimat PH pada malam ini.

Turut hadir dalam majlis itu, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa pucuk pimpinan tertinggi parti itu.

Sementara itu, mengulas kehadirannya pada majlis berkenaan, Idris berkata, beliau merasa seolah-olah berada dalam keluarga besar PH ketika diberi peluang berucap.

Katanya, kehadiran beliau dan tiga lagi rakannya juga tidak mendapat sebarang cemuhan, sebaliknya diterima baik dalam keluarga gabungan politik berkenaan.

"Bila saya bangun dapat sokongan macam itu, saya mula berasa saya berada dalam satu keluarga besar PH.

"Tidak ada satu cemuhan... 'boo' dan sebagainya... tuduhan pengkhianat tiada di sebelah sini. Saya mula rasa seolah-olah berada dalam satu keluarga besar... dah rasa sebab tiada cemuhan-cemuhan," katanya. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!