Dipenjara empat bulan gara-gara topi keledar
KUALA LUMPUR - Seorang warganegara Myanmar yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini kerana memiliki topi keledar curi.
Majistret Haslinda A. Raof menjatuhkan hukuman itu ke atas Nor Hakim Nurul Amin, 19, selepas dia mengaku bersalah memiliki topi keledar milik Ayop Omar di hadapan rumah sebuah rumah di Taman Pandan Indah pada 5 petang, 25 Februari lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda atau kedua-duanya.
Mahkamah memerintahkan tertuduh yang tidak diwakili peguam itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap pada 25 Februari.
Terdahulu Nor Hakim yang merupakan pekerja kedai besi buruk merayu hukuman ringan kerana dia sudah insaf, bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Raihanah Abd Razak memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran.
Menurut fakta kes, pemilik topi keledar yang juga pengadu dalam kes itu telah menerima aduan daripada jiran rumahnya yang mendapati seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di luar rumah dan semasa pihak polis membuat tangkapan terhadap lelaki itu telah merampas topi keledar yang berada bersamanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!