Dua lelaki ditahan bersama 96 bungkus air ketum
PASIR MAS – Dua lelaki ditahan bersama 96 bungkus air ketum yang diletakkan di belakang kenderaan mereka semasa melalui sekatan jalan di Jambatan Tendong, petang Isnin.
Dalam sekatan jam 6.15 petang itu, dua lelaki berkenaan yang masing-masing berumur 20 dan 26 tahun menaiki sebuah kenderaan dan melalui kawasan berkenaan dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, kenderaan tersebut dipandu dari arah Pasir Mas menghala ke Salor, Kota Bharu.
“Kami menahan dan membuat pemeriksaan ke atas kedua-dua lelaki berkenaan dan tidak menjumpai apa-apa barang salah. Namun pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan berkenaan menemui dua bungkusan plastik lutsinar warna hijau.
“Bungkusan pertama mengandungi 16 bungkus plastik lutsinar berisi cecair keperangan disyaki air ketum yang diletakkan di tempat letak kaki penumpang belakang.
“Lapan lagi plastik lutsinar yang di dalamnya berisi 80 bungkus plastik putih yang juga dipercayai air ketum disorok dalam but belakang kenderaan tersebut,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Pemeriksaan lanjut mendapati dua lelaki berkenaan masing-masing positif dadah jenis Benzo dan kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!