Pandora Papers: SPRM panggil Anwar dalam masa terdekat
SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pendedahannya mengenai Kertas Pandora yang turut melibatkan nama beberapa tokoh politik negara.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, beliau telah mengarahkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya dan pegawainya untuk berjumpa Ahli Parlimen Port Dickson itu untuk dirakam keterangan.
Menurutnya, keputusan sama ada kertas siasatan akan dibuka atau tidak bergantung kepada hasil perbincangan antara Bank Negara Malaysia (BNM) dan agensi-agensi terlibat.
"Sama ada kita buka atau tidak kertas siasatan, kita kena bincang dengan pihak BNM dan agensi-agensi berkaitan.
"Beri sedikit masa, kami akan buat janji temu dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, SPRM akan bekerjasama bersama BNM dan agensi-agensi lain untuk menyiasat Kertas Pandora yang didedahkan Anwar.
Kertas Pandora adalah laporan yang mendedahkan senarai urus niaga melibatkan tokoh-tokoh politik, ahli-ahli perniagaan, selebriti-selebriti yang membuka akaun di pusat-pusat kewangan pesisir di dunia.
Beberapa nama ahli politik dan ahli perniagaan Malaysia turut disebut dalam Kertas Pandora itu; antaranya ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin; Timbalan Menteri Kewangan, Yamani Hafez Musa dan keluarga ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!