Sabah beri tumpuan tangani cabaran kesihatan, keselamatan
KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha menangani cabaran kesihatan dan keselamatan dengan berkesan selain mengurus ekonomi secara mampan dan strategik.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perjuangan kerajaan dalam menjaga kesihatan rakyat dan memulihkan ekonomi ketika penularan pandemik Covid-19 penuh cabaran selain ramai tertekan dan bimbang dengan persekitaran kesihatan serta ekonomi yang masih terumbang-ambing.
"Banyak yang sudah dan sedang kerajaan lakukan bagi meningkatkan peluang pekerjaan serta perniagaan di samping mempelbagaikan punca pendapatan rakyat.
"Dalam pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang disusun, sememangnya pembangunan ekonomi negeri dan rakyat menjadi agenda utama kerajaan ketika ini," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Selasa.
Hajiji berkata, tahun ini adalah kali kedua sambutan Maulidur Rasul tidak diraikan secara tradisi dengan perhimpunan besar-besaran dan berarak disebabkan pandemik Covid-19.
"Bagaimanapun, Maulidur Rasul tahun ini membawa kita menjejaki ambang perlaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada September lalu.
"Pastinya bukan soal jumlah peruntukan yang kita perolehi, tetapi mungkin ia akan membawa banyak kebaikan kepada rakyat dan negara.
"Justeru, kerajaan telah merangka pelan pembangunan SMJ bagi mendepani cabaran ini yang berfokus kepada pertumbuhan sektor ekonomi utama iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan," katanya.
Sambutan Maulidrul Rasul peringkat negeri Sabah bagi tahun 1443 Hijrah dilancarkan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dengan tema 'Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti'.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!