Remaja lemas mandi air terjun
KULIM - Seorang remaja lelaki ditemukan lemas ketika mandi bersama beberapa rakan di Air Terjun Junjong kira-kira jam 10.54 pagi Selasa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, mangsa yang lemas dikenali sebagai Iman Zulhakim Abd Rahim, 18 tahun.
Menurutnya, Pusat Gerakan Operasi Negeri Kedah menerima panggilan kecemasan pada jam 10.54 pagi melalui talian MERS 999 memaklumkan seorang lelaki hilang dipercayai lemas di kolam mandi air terjun berkenaan.
"Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kulim bersama pegawai dan enam anggota yang tiba ke lokasi mendapati mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri telah pun diselamatkan orang awam.
"Bantuan pernafasan CPR telah diberikan kepada mangsa," katanya.
Bagaimanapun, pemeriksaan seterusnya dilakukan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tiba ke lokasi di mana pegawai perubatan kemudian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!