Maritim halau bot cuba seludup masuk 40 PATI
SHAH ALAM - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) telah memintas dan menghalau cubaan menyeludup masuk 40 pendatang asing tanpa izin (PATI) oleh sebuah bot dari Indonesia sekitar jam 4 pagi Selasa.
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata, Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor telah menerima maklumat risikan berkaitan pergerakan sebuah bot telah keluar dari Tanjung Balai, Asahan, Indonesia sekitar jam 9 malam dengan disyaki membawa lebih kurang 40 orang PATI warga Indonesia dan dipercayai menuju ke perairan Selangor.
Beliau berkata, kira-kira jam 12.20 malam, radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Maritim yang berpangkalan di Area Command Centre (ACC) Klang telah mengesan bot sasaran curiga tersebut sedang bergerak dari perairan Permatang Sedepa menuju ke perairan Morib.
“Berikutan itu, bot Penggalang 10 yang dalam tugasan Ops Benteng Sektor 5 telah digerakkan bagi pemintasan sasaran dengan dibantu bot PR4 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Katanya, sekitar jam 2 pagi Selasa, Penggalang 10 dan PR4 tiba di lokasi dan telah bertembung dengan bot yang disyaki membawa PATI, lalu mengarahkan untuk berhenti.
Namun, katanya, tekong bot itu bertindak agresif memecut laju dan melakukan pergerakan berbahaya yang bertujuan meloloskan dari ditahan serta berusaha merapat ke kawasan pantai.
“Penggalang 10 dan PR4 terus menghalang tindakan bot berkenaan dengan menghimpit dan membayangi secara kejar buru sehingga ke laut lepas bagi menghindar daripada menuju dan mendarat di pantai,” katanya.
Mohd Rosli berkata, dalam tempoh kejar buru hampir satu jam 30 minit itu, bot tersebut masih berdegil untuk berhenti serta bergerak secara agresif dan berbahaya.
Katanya, Penggalang 10 dan PR 4 seterusnya melaksanakan tugas pengusiran dengan membayangi bot berkenaan keluar dari perairan negara sepenuhnya sekitar jam 4 pagi, seterusnya dipantau rapat oleh radar SWASLA di ACC Klang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!