Vietnam penjarakan 15 aktivis anti-China
HANOI - VIETNAM. Vietnam hari ini memenjarakan 15 aktivis kerana 'menyebabkan gangguan awam' semasa tunjuk perasaan anti-China yang bertukar ganas, tahun lalu.
Demonstrasi yang berlaku di beberapa bahagian negara itu sebagai tindak balas kepada undang-undang berkaitan tiga zon ekonomi khas yang akan memberikan pajakan 99 tahun, menimbulkan kebimbangan tawaran itu akan jatuh ke tangan firma China di tengah-tengah ketegangan perbalahan merebut wilayah di Laut China Selatan.
Kesemua defendan dijatuhi hukuman penjara antara dua hingga tiga tahun setengah oleh mahkamah wilayah selatan Binh Thuan.
Agensi berita Vietnam berkata, kesemua defendan menjerit dan menghasut orang ramai serta menyekat laluan trafik di lebuh raya utama selama 15 jam.
Himpunan tunjuk perasaan paling besar ialah di wilayah pantai tenggara Binh Thuan, di mana beratus orang berkumpul di hadapan Ibu Pejabat Jawatankuasa Rakyat di Phan Thiet melempar batu dan bom petrol.
Penunjuk perasaan turut menyerang balai dan memusnahkan kenderaan polis. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!