90.7 peratus rakyat Sarawak sudah divaksin
KUCHING - Sejumlah 90.7 peratus populasi dewasa di Sarawak yang berumur 18 tahun ke atas sudah menerima satu dos vaksin Covid-19 setakat ini.
Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) dalam kenyataan memaklumkan, bagi seluruh populasi Sarawak pula, sejumlah 70.1 peratus telah menerima dua dos suntikan vaksin berkenaan.
"Bagi golongan remaja, sejumlah 231,803 individu berumur antara 12 dan 17 tahun atau 79.1 peratus telah disuntik dos pertama dan seramai 121,030 remaja berusia antara 12 dan 17 tahun atau 41.3 peratus sudah disuntik dos kedua.
“Sarawak sasar semua remaja berumur antara 12 dan 17 tahun akan lengkap divaksinasi sebelum 31 Oktober,” menurut kenyataan itu.
JKNS berkata, mulai 13 Oktober lepas, Sarawak telah melaksanakan pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 kepada golongan warga emas dan petugas barisan hadapan.
“Golongan warga emas akan menerima dos penggalak di klinik swasta dan hospital swasta, manakala (petugas) barisan hadapan kesihatan melalui fasiliti kesihatan awam dan swasta di fasiliti kesihatan masing-masing.
“Setakat 17 Oktober ini, 11,156 dos penggalak telah diberikan di Sarawak manakala di Miri sebanyak 2,372 dos,” menurut kenyataan itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!