1.4 juta kenderaan setiap hari sejak Jumaat: PLUS
KUALA LUMPUR- Sejak pergerakan rentas negeri dibenarkan bermula 11 Oktober, orang ramai tidak melepaskan peluang untuk pulang ke kampung serta melancong bersama keluarga atau rakan.
Ia menyaksikan pertambahan bilangan kenderaan di jalan serta lebuh raya di seluruh negara, terutama pada hujung minggu dan hari kelepasan am termasuk Sambutan Maulidur Rasul, hari ini.
Tinjauan di Plaza Tol Jalan Duta mendapati trafik masuk ke Kuala Lumpur berjalan lancar pada tengah hari, namun kenderaan dilihat mula bertambah kira-kira jam 6.30 petang.
Sementara itu, Ketua Perhubungan Libat Urus Stategik PLUS, Syed Mohammed Idid Syed Ahmad Idid berkata, dari Jumaat lalu hingga Isnin, terdapat peningkatan kira-kira 300,000 kenderaan sehari yang menggunakan lebuh raya seliaan mereka.
"Dari hari Jumaat, kita nampak ada peningkatan. Sebelum ini trafik harian antara 1 juta ke 1.1 juta. Bermula Jumaat lepas, ia meningkat dan kita anggarkan bertambah kepada 1.4 juta kenderaan sehari.
"Begitupun, dari laporan yang saya terima, trafik dari selatan dan utara yang pulang ke bandar raya masih terkawal. Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) pun semua terkawal," katanya ketika ditemui di Plaza Tol Jalan Duta pada Selasa.
Mengulas pematuhan prosedur operasi standard (SOP), beliau berkata rakyat Malaysia mematuhi SOP sebaiknya terutama ketika berada di R&R.
"Keluarga Malaysia memang patuh kepada SOP. Ramai menunjukkan status vaksin lengkap mereka di telefon bimbit mereka. Tapi ada juga yang kata bateri telefon bimbit dah habis.
"Jadi kita nak minta pada masa depan, bawa kad vaksinasi untuk menunjukkan status vaksinasi lengkap anda," ujarnya.
Bagi mereka yang mungkin masih berada di kampung dan bercadang untuk pulang sebentar nanti, ini nasihat Syed Mohammed Idid untuk anda:
"Yang penting periksa kereta, pastikan enjin, tayar dudah periksa elok-elok. Masa nak siap sedia bawa keluarga, kalau ada kanak-kanak, ada bayi, pastikan ada 'jajan', barang keperluan bayi, susu botol, air panas, apa juga air dan makanan.
"Kami juga sarankan untuk setiap pelanggan lebuh raya, selepas setiap dua jam memandu, ambillah peluang untuk berehat di R&R. Di sana kami ada banyak juadah, gerai-gerai makan," katanya.- Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!