Projek pembesaran Lapangan Terbang Sandakan siap hujung tahun ini
SANDAKAN - Projek Pembesaran Lapangan Terbang Sandakan di sini yang melibatkan kos RM80.9 juta dijangka siap hujung tahun ini.
Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan memaklumkan, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Isham Ishak telah meninjau projek itu pada Selasa dan mendapati kemajuan fizikalnya kini pada tahap 73 peratus.
"Baki kerja untuk bahagian 'runway' atau landasan adalah penyiapan kerja-kerja turapan termasuk penandaan landasan, pemasangan baki kerja akhir sistem lampu dan peralihan peralatan kaji cuaca serta jarak visual landasan (RVR).
"Bagi kerja-kerja di bahagian jalan rayap, baki kerja adalah penyiapan kerja-kerja turapan termasuk penandaan landasan serta pemasangan baki kerja akhir bagi sistem lampu aeronautik," menurut kenyataan itu.
Projek itu dilaksana di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 dengan skop melibatkan pemanjangan landasan daripada 2,133 meter kepada 2,500 meter, pembinaan sambungan jalan rayap yang baharu, pelebaran kawasan parkir pesawat dan naik taraf peralatan navigasi penerbangan.
Projek itu dilaksana selaras dengan hasrat kerajaan untuk menggalakkan pertumbuhan industri pelancongan di Sabah terutama di Sandakan. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!