Messi pencetus inspirasi Les Parisiens
PELEDAK Paris Saint-Germain (PSG), Lionel Messi menjadi pencetus inspirasi ketika Les Parisiens mengatasi RB Leipzig 3-2 dalam perlawanan Liga Juara-Juara di Le Parc des Princes.
Pada perlawanan kumpulan A itu, tuan rumah yang dikendalikan Mauricio Pochettino terlebih dahulu di depan hasil jaringan Kylian Mbappe pada minit kesembilan perlawanan.
Namun Die Roten Bullen kendalian Jesse March tidak mengalah apabila bangkit dengan dua gol menerusi Andre Silva diikuti Nordi Mukiele di minit ke-28' dan 57', untuk memimpin perlawanan buat pertama kali.
Hasrat kelab Bundesliga tersebut untuk membawa pulang tiga mata tidak kesampaian apabila Messi yang juga kapten Argentina dan bekas tonggak Barcelona kembali menyamakan kedudukan dengan gol minit ke-67 sebelum memadam kebangkitan skuad muda March apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-74.
Keputusan itu menyaksikan PSG terus memimpin kumpulan A dengan tujuh mata selepas mengharungi tiga perlawanan, satu mata mengatasi Manchester City yang berpesta gol mengalahkan Club Brugge 5-1.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!