Program tazkirah 24 jam Yadim diiktiraf Malaysia Book of Records
PUTRAJAYA - Program tazkirah 24 jam yang dianjurkan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) direkodkan sebagai ceramah Islam secara langsung tanpa henti terpanjang oleh Malaysia Book of Records.
Menerusi kenyataannya, Yadim memaklumkan program tersebut bermula jam 9 malam pada 18 Oktober hingga 10 malam keesokan harinya diadakan sempena sambutan Maulidur Rasul 1443H.
"Program ini telah melibatkan seramai 24 penceramah dari dalam dan luar negara selama 24 jam tanpa henti dan secara lengkap 'membedah' buku Sirah Nabawiyah terbitan Yadim yang diterjemah daripada kitab terkenal, Al Raheeq Al Makhtum karangan Syeikh Saffiyu Al Rahman Al Mubarakfuri," katanya pada Rabu.
Ujar Yadim, jumlah tontonan secara langsung melebihi 500 orang bagi setiap masa.
"Program ini berjaya mengumpulkan sejumlah 44,893 orang peserta dan penonton yang mengikutinya secara fizikal dan maya pada penghujung catatan masa," katanya.
Apa yang lebih membanggakan, Yadim berjaya mencatatkan rekod program selama 25 jam tanpa henti.
Ia dimaklumkan oleh Eksekutif Akaun, Malaysia Book Of Records, Mohamad Nazrul Hafizi Ahmad Fauzi ketika mengumumkan kejayaan tersebut.
"Yadim merakamkan penghargaan kepada kesemua pihak yang telah terlibat khususnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menjadi penaung kepada yayasan ini; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad; Bank Islam selaku penaja bersama dan semua pihak yang terlibat bagi menjayakan program ini," katanya.
Tambah Yadim, aktiviti kebajikan, pendidikan dan sosial pembangunan yang terangkum dalam konteks dakwah akan dipergiatkan lagi sehingga penghujung Disember.
"Program yang telah dirancang ini pastinya akan membantu merealisasikan agenda Keluarga Malaysia yang dibawa oleh kerajaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!