Penculik Haiti minta wang tebusan AS$17 juta bebaskan mubaligh
PORT-AU-PRINCE - Kumpulan penculik Haiti yang menculik 17 mubaligh warga Amerika Syarikat (AS) dan Kanada meminta tebusan sebanyak AS$17 juta untuk membebaskan mereka.
Menurut kenyataan Menteri Kehakiman Liszt Quitel kepada Reuters, perbincangan sedang dilakukan dengan kumpulan penculik itu.
Kumpulan mubaligh itu diculik pada hujung minggu lalu di luar ibu kota Port-au-Prince oleh kumpulan yang menggelarkan diri mereka 400 Mawozo.
"Mereka meminta AS$1 juta bagi setiap orang," kata Quitel yang mengesahkan jumlah wang tebusan yang diminta kumpulan penculik.
Pihaknya telah membuat beberapa panggilan kepada penculik dan kumpulan mubaligh itu sejak penculikan mereka, kata menteri itu kepada CNN.
Pada Ahad, kumpulan 17 mubaligh dari Christian Aid Ministries itu diculik dari sebuah bas yang menuju ke lapangan terbang.
Penculikan terbaharu itu menunjukkan kes keganasan dan penculikan meningkat dengan mendadak di negara tersebut.
Haiti berada dalam keadaan pergolakan politik selama bertahun-tahun dan penculikan orang kaya dan miskin adalah perkara biasa.
Meskipun negara tersebut terbiasa dengan pelanggaran undang-undang yang meluas, penculikan sekumpulan besar orang Amerika mengejutkan pihak berkuasa. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!