Umrah: Mohon segerakan dos penggalak kepada penerima Sinovac
PETALING JAYA - TH Travel & Services Sdn Bhd memohon kerajaan mempercepatkan dan memberi keutamaan pemberian dos penggalak kepada semua bakal jemaah umrah melibatkan jenis yang diperakui untuk tujuan ibadah tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Ruzman Ahmad Razali berkata, ini kerana pemain industri kini sudah mula menerima permintaan daripada bakal jemaah untuk mengerjakan umrah sejak kebenaran diberikan 18 Oktober lalu.
Bagaimanapun menurutnya, ramai golongan penerima vaksin jenis Sinovac tidak dapat meneruskan tempahan kerana masih tiada saluran untuk mendapatkan suntikan dos penggalak vaksin jenis lain.
"Kami banyak menerima pertanyaan daripada bakal jemaah umrah di bawah umur 60 tahun yang bertanya tentang kelayakan mereka untuk mendapatkan suntikan dos penggalak.
"Banyak penerima Sinovac yang tertunggu-tunggu kerana tidak dapat tentukan tarikh tempahan," katanya pada sidang media Majlis Menandatangani MoU antara TH Travel & Services Sdn Bhd dan TheNoor Apps di Hotel TH di sini pada Rabu.
Tambah beliau, meskipun kerajaan mengumumkan kesediaan pemberian dos penggalak yang diperlukan oleh bakal jemaah haji dan umrah, kerajaan juga boleh mempertimbangkan pilihan lain.
"Jika pihak kerajaan ada pilihan lain selain mendapatkan dos penggalak secara percuma, mungkin boleh dipertimbangkan mendapat suntikan daripada pihak swasta dengan dikawal selia oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
"Kalau perlu bayar, insya-ALLAH pada kadar yang munasabah, mereka yang mampu bayar pakej umrah ini biasanya mampu juga untuk bayar vaksin penggalak ini. Jadi, harapan kita kerajaan memberi keutamaan kepada bakal jemaah umrah,"katanya.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebelum ini memberitahu, rakyat Malaysia yang mahu mengerjakan umrah namun tidak menerima jenama vaksin yang ditetapkan oleh beberapa agensi dan negara lain boleh mengemukakan permohonan suntikan dos penggalak menerusi aplikasi MySejahtera.
Ia susulan kerajaan Arab Saudi mewajibkan pengambilan dos penggalak daripada jenis vaksin lain yang diperakui negara itu kepada bakal jemaah yang menerima dos lengkap jenis Sinovac.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!