Pesawah jangan khuatir, bekalan benih padi cukup

Azman (empat dari kanan) bergambar bersama penerima Sewa Pajak Projek Penanaman Padi Skala Besar (PPSB) Kampung Asam Jawa di PPK F-III di sini pada Rabu.
Azman (empat dari kanan) bergambar bersama penerima Sewa Pajak Projek Penanaman Padi Skala Besar (PPSB) Kampung Asam Jawa di PPK F-III di sini pada Rabu.
A
A
A

PENDANG - Pesawah di negeri ini tidak perlu khuatir dengan isu kelewatan benih padi yang berlaku berikutan bekalan benih mencukupi dan sedang diagihkan secara berperingkat.

Exco Pertanian dan Industri Makanan negeri Kedah, Azman Nasrudin berkata, Jabatan Pertanian dalam kenyataan juga sudah memaklumkan bahawa benih padi mencukupi bagi penanaman musim 2/2021 di kawasan seluas 520,000 hektar di Semenanjung.

Menurutnya, mungkin berlaku kelewatan di beberapa tempat, namun Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sedang mengambil tindakan segera untuk mengatasi perkara terbabit.

"Situasi kelihatan tidak terkawal kerana terdapat segelintir NGO (pertubuhan bukan kerajaan) cuba memperbesarkan isu terbabit untuk memburukkan lagi keadaan.

"Saya harap pesawah dapat bersabar, dengar juga penjelasan dan pandangan daripada agensi berkaitan, jangan apabila ada NGO buat kenyataan sikit semua jadi kelam kabut," katanya ketika ditemui di Majlis Penyerahan Sewa Pajak Projek Penanaman Padi Skala Besar (PPSB) Kampung Asam Jawa di PPK F-III di sini pada Rabu.

Hadir sama, Pengerusi MADA, Ahmad Tarmizi Sulaiman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob.

Menurutnya, bagi melancarkan proses pengagihan benih padi, pesawah juga dinasihatkan tidak menukar jenis benih padi pada saat akhir.

"Sekiranya jenis benih padi yang ditempah habis maka ia akan digantikan dengan jenis benih padi yang lain dan setara.

Artikel Berkaitan:

"Insya-ALLAH semuanya akan dapat diselesaikan cuma petani perlu ikut jadual penanaman padi yang ditetapkan MADA," katanya.

Sementara itu, Ahmad Tarmizi berkata, pegawai-pegawai MADA sering mendapatkan maklumat susulan daripada peladang bagi memastikan proses penghantaran benih padi sah (BPS) dapat dilakukan mengikut jadual masing-masing.

Katanya, pengagihan BPS dilakukan menerusi PPK setiap kawasan dan diagihkan mengikut fasa yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Jabatan Pertanian dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan data hingga 10 Oktober lalu, sebanyak 52,922.5 tan metrik benih padi sedang dalam proses pengesahan.

Katanya, jumlah berkenaan mencukupi untuk keperluan mengikut jadual penanaman di Kedah dan Perlis hingga akhir November depan.

Pada Selasa, media melaporkan Badan Bertindak Petani MADA mendakwa sekali lagi berlaku kelewatan proses pengagihan benih padi kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) sehingga menjejaskan jadual penanaman membabitkan lebih 50,000 pesawah di Kedah dan Perlis.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!