Pencemaran Sungai Remok: MDHS kompaun pemilik premis

LUAS bersama agensi terlibat melakukan pemantauan di lokasi susulan laporan pencemaran di Sungai Remok, pada Ahad.
LUAS bersama agensi terlibat melakukan pemantauan di lokasi susulan laporan pencemaran di Sungai Remok, pada Ahad.
A
A
A

HULU SELANGOR - Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) mengeluarkan kompaun ke atas pemilik premis yang melakukan kerja tanah bagi tujuan pertanian sehingga menyebabkan pencemaran di Sungai Remok baru-baru ini.

Exco Pelancongan dan Alam Sekitar Selangor, Hee Loy Sian berkata, susulan laporan media berhubung pencemaran di sungai berkenaan, MDHS dan Pejabat Daerah & Tanah Hulu Selangor (PDTHS) telah turun padang bagi melakukan siasatan di lokasi terlibat, pada Selasa.

Loy Sian berkata, siasatan dijalankan mendapati terdapat aktiviti kerja tanah melibatkan kawasan seluas 8.9 hektar di hulu Sungai Remok melibatkan tanah milik berstatus persendirian.

"Semakan mendapati kelulusan kebenaran merancang (KM) daripada MDHS diperoleh bagi tujuan tapak penanaman sayur berserta struktur rumah hijau sementara, namun tiada pelan kerja tanah.

"Maka, tindakan kompaun di bawah Seksyen 70 A (1) Akta Jalan, Parit & Bangunan 1974 (Akta 133) kepada pemilik premis kerana menjalankan kerja tanah tanpa kebenaran," katanya dalam kenyataan, pada Rabu.

Mengulas lanjut, Loy Sian berkata, pensampelan dilakukan LUAS di lokasi itu turut mendapati kerja tanah yang terdedah di kawasan itu berisiko menyebabkan peningkatan kekeruhan sekiranya hujan lebat dan tiada langkah kawalan sedimen yang efisyen.

Menurut beliau, LUAS turut mengeluarkan Perintah Perlindungan Air berdasarkan Seksyen 122 (1) Enakmen LUAS 1999 kepada pemilik premis untuk menghentikan sebarang pelepasan pencemaran ke Sungai Remok.

"Kegagalan pematuhan perintah ini boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara untuk tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan:

"Denda selanjutnya tidak melebihi RM3,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan," katanya.

Tambah Loy Sian, tiada henti tugas operasi Loji Rawatan Air (LRA) susulan insiden itu dan kerajaan Selangor tidak akan berkompromi dengan pihak yang melakukan jenayah alam sekitar.

"Kerajaan negeri dan LUAS menyeru agar semua pihak prihatin terhadap aktiviti yang berpotensi menyebabkan pencemaran," katanya.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan gesaan Pertubuhan Kebajikan Warga Desa Hulu Selangor meminta kerajaan negeri menyiasat punca sebenar pencemaran yang berlaku di sungai berkenaan.

Ahli jawatankuasa pertubuhan terbabit, Amir Fairizat Sayuti berkata, masalah itu bertambah teruk setiap kali hujan lebat menyebabkan air sungai bertukar keruh.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!