Lelaki ditahan palsu identiti daftar talian telefon
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki ditahan kerana disyaki terlibat aktiviti pemalsuan dokumen pengenalan diri untuk pendaftaran talian telefon prabayar, pada Selasa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, lelaki berusia 32 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Kota Bharu, Kelantan.
"Kami turut merampas tiga unit telefon bimbit pelbagai jenama, enam keping sim kad dan beberapa peralatan komputer. Suspek ditahan reman Sabtu ini bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Mohd Kamarudin berkata, melalui siasatan dijalankan, suspek didapati mengubahsuai butiran kad pengenalan miliknya dengan memasukkan maklumat pelanggan pascabayar yang berdaftar dengan sebuah syarikat telekomunikasi.
"Kad pengenalan tersebut kemudian digunakan untuk membuka akaun baru (prabayar) di syarikat telekomunikasi sama.
"Setelah akaun baru dibuka, suspek akan mendaftarkan nombor tersebut ke dalam aplikasi disediakan oleh syarikat telekomunikasi," katanya.
Beliau berkata, setelah pendaftaran berjaya, sistem akan beranggapan nombor baru tersebut adalah milik pelanggan sedia ada dan akan membenarkan transaksi pemindahan kredit dari nombor pasca bayar ke nombor prabayar yang ditentukan oleh suspek.
"Sehingga kini, syarikat telekomunikasi berkaitan mengalami kerugian berjumlah RM3,882 akibat pemindahan kredit secara tidak sah ini," katanya.
Mohd Kamarudin berkata, pihaknya percaya dengan penahanan suspek, sebanyak lapan kes melibatkan modus operandi sama berjaya diselesaikan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!