Imigresen rampas 1,150 pasport berpelekat PLKS palsu
PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen merampas 1,150 pasport pelbagai negara yang mengandungi pelekat pas lawatan kerja sementara (PLKS) palsu dalam dua serbuan berasingan sejak Selasa lalu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, serbuan dibuat di Ampang dan Subang Jaya.
"Dalam serbuan di Ampang, Imigresen telah merampas 110 pasport, tujuh keping pelekat Imigresen, 40 keping sijil pendaftaran vendor palsu dan enam telefon bimbit serta tiga komputer riba," katanya.
Selain itu, pihaknya telah memberkas lapan lelaki warga Bangladesh berumur 30 hingga 46 tahun.
Dalam sebuah kedua di Subang Jaya, sebanyak 1040 passport dirampas termasuk tamat tempoh dan disyaki palsu.
"Seramai sembilan warga Bangladesh dan seorang warga tempatan ditahan," katanya.
Beliau berkata, sindiket tersebut dipercayai aktif dalam pemalsuan dokumen Imigresen sejak tiga tahun lalu.
"Dianggarkan Imigresen kerugian RM7.2 juta bagi tempoh itu dari segi bayaran levi PLKS sektor perkhidmatan," katanya.
Kesemua individu yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 55D Akta Imigresen 1959 iaitu membuat atau memalsukan atau meminda endorsement untuk digunakan sebagai visa, permit atau pas.
Mereka berdepan dengan hukuman denda sehingga RM30,000 dan penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan sebatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!