Sultan Johor kesal sikap masyarakat buang sampah
JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kesal dengan sikap segelintir masyarakat yang gemar membuang sampah di dalam longkang, parit dan sungai hingga menjejaskan saliran air terutamanya pada musim hujan di kawasan Bandaraya Johor Bahru.
Menerusi muat naik di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Rabu, baginda bertitah, hasil siasatan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mendapati banjir kilat melanda kawasan bandar raya ini pada bulan lalu berpunca akibat sistem saliran tersumbat disebabkan sampah sarap dan sisa binaan.
Titah baginda, laporan dan gambar-gambar hasil siasatan MBJB itu dipersembahkan kepada baginda oleh Datuk Bandar MBJB, Datuk Noorazam Osman di Pejabat Mados, Istana Bukit Pelangi di sini baru-baru ini.
"Ia berpunca daripada sikap segelintir masyarakat yang gemar membuang sampah ke dalam sungai, parit dan longkang. Apabila hujan dalam jumlah yang besar dan tempoh yang lama, maka banjir kilat pasti tidak dapat dielakkan.
"Saya ada melihat gambar-gambar dan rakaman video yang ditunjukkan oleh Datuk Bandar MBJB. Terdapat begitu banyak sampah dibuang termasuk tilam, kayu dan juga peti sejuk. Amat mengecewakan.
"Masyarakat seharusnya lebih bertanggungjawab dengan tidak membuang sampah dalam saliran mahupun sungai. Perbuatan seperti ini kelak menyumbang kepada berlakunya banjir," titah baginda.
Pada 30 September lalu, Sultan Ibrahim dilaporkan menitahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor serta pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya menjalankan kajian di semua kawasan yang kerap berlaku banjir kilat di negeri ini terutama Bandaraya Johor Bahru.
Dalam kenyataan sama, Datuk Bandar MBJB, Datuk Noorazam berkata, pihaknya telah melaksanakan kerja-kerja pembersihan di lokasi yang terbabit dengan membersihkan halangan di dalam parit, longkang serta saliran utama.
"MBJB memperuntukkan RM6 juta untuk penyelenggaraan sungai dan longkang setiap tahun namun sikap segelintir rakyat yang membuang sampah di dalam saliran ini amat kita dikesali.
"Saya juga telah mengadakan lawatan ke lokasi-lokasi hotspot banjir bagi merangka tindakan penyelesaian komprehensif membabitkan tindakan penyelesaian segera, sederhana dan jangka masa panjang bagi mengatasi masalah banjir," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!