UMNO berstrategi, kolektif hadapi PRN Melaka
SHAH ALAM - UMNO akan bertindak dan berstrategi secara kolektif dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, jentera parti kini bersiap sedia bagi memastikan kemenangan milik mereka.
"Tiada kawasan panas atau sejuk, hitam atau putih, UMNO akan harungi dengan keazaman yang jitu.
"UMNO bertindak dan berstrategi secara kolektif. Insya-ALLAH kemuafakatan itu membawa kepada kejayaan," katanya menerusi hantaran Facebook beliau pada Rabu.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, PRN Melaka merupakan pilihan raya luar jangka namun tetap akan dihadapi bersama UMNO.
"Gendang telah dipalu maka membujur lalu melintang patah.
"Walau apa cabaran UMNO akan depani demi tanggungjawabnya kepada agama, bangsa dan negara," ujarnya.
Pada Selasa, Ahmad Zahid melancarkan jentara UMNO bagi PRN Melaka yang ditetapkan pada 20 November depan.
Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) menetapkan penamaan calon pada 8 November.
PRN Melaka dilaksanakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada 4 Oktober lalu.
Keputusan itu dibuat selepas empat ADUN kerajaan mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman iaitu Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!