MATTA harap Bajet 2022 bermurah hati kepada industri pelancongan

Tan Kok Liang
Tan Kok Liang
A
A
A

PERSATUAN Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) berharap Bajet 2022 yang akan dibentangkan tidak lama lagi bersifat murah hati kepada industri pelancongan dengan bantuan khusus dan bersasar.

MATTA menjelaskan ini terutama untuk pengusaha pelancongan dan agensi pengembaraan yang telah menjadi penyumbang serta pemangkin utama pembangunan industri.

Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang berkata, pemulihan perniagaan pelancongan melibatkan pemberian pinjaman mudah kepada syarikat bertujuan membina semula infrastruktur yang telah musnah, pengekalan pekerja, latihan semula dan penyediaan sokongan untuk memenuhi jangkaan pengguna dan daya saing Malaysia sebagai destinasi pilihan di rantau ini.

“Ekoran pandemik, strategi pelancongan yang ada pada masa ini bersifat lokal berbanding global.

Justeru, Bajet 2022 perlu menekankan penyediaan pakej rangsangan pelancongan dan insentif cukai untuk perjalanan peribadi dan korporat.

“Susulan keterbatasan pelancongan domestik, kerajaan perlu menyegerakan rangka kerja dan penyelesaian perjalanan untuk mempercepat pembukaan semula sempadan bagi pelancong antarabangsa,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, MATTA telah mengemukakan kertas cadangan dan harapan Bajet 2022 kepada Kementerian Kewangan supaya dapat membantu sektor ekonomi yang terjejas teruk serta pihak berkepentingannya.

Persatuan pelancongan itu juga menggesa Kementerian Kewangan mewujudkan Tabung Pemulihan dan Pertumbuhan Pelancongan untuk memberikan sokongan kewangan kepada semua pihak berkepentingan dan syarikat persendirian dalam industri itu untuk memulakan kembali, bangkit semula, mengekalkan dan mengembangkan sektor masing-masing pada masa ini dan untuk masa depan.

Artikel Berkaitan:

Tabung itu sewajarnya menyediakan sekurang-kurangnya RM5 bilion untuk permulaan, sebagai kemudahan pinjaman mudah, dengan faedah 1.0 peratus dan tempoh pembayaran balik selama tujuh tahun, jelas MATTA.

Menurut MATTA, kerajaan juga telah dimaklumkan bahawa kebangkitan semula industri pelancongan memerlukan pelan hala tuju strategik yang jelas bagi pembukaan semula sempadan antarabangsa dengan penetapan peraturan dan protokol keselamatan perjalanan.

MATTA menambah, walaupun perjalanan domestik penting namun ia tidak mencukupi untuk memperkukuh keseluruhan industri pelancongan.

MATTA juga memohon supaya Program Subsidi Upah dilanjutkan dari 1 Oktober 2021 sehingga 31 Mac 2022 sementara menunggu ketibaan pelancong antarabangsa di Malaysia. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!