AMK Kedah tolak empat bekas ADUN Melaka sertai PKR

Empat ADUN terlibat iaitu Idris (bawah, kanan), Nor Azman Hassan (bawah, kiri), Norhizam (atas, kanan) dan Noor Effandi Ahmad (atas, kiri). - Foto Awani
Empat ADUN terlibat iaitu Idris (bawah, kanan), Nor Azman Hassan (bawah, kiri), Norhizam (atas, kanan) dan Noor Effandi Ahmad (atas, kiri). - Foto Awani
A
A
A

ALOR SETAR - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah tidak bersetuju sekiranya empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ketua AMK Kedah, Mohammed Firdaus Johari berkata, pihaknya percaya pandangan itu selari dengan suara rakyat mahupun akar umbi penyokong Pakatan Harapan (PH) yang turut tidak bersetuju dengan penyertaan ADUN berkenaan sama ada menerusi jemputan atau permohonan.

Menurutnya, pihaknya berharap pimpinan tertinggi parti itu mendengar suara hati pimpinan bawahan dengan penuh keterbukaan sejajar dengan perjuangan parti itu.

“Biar apa pun justifikasi yang bertopengkan strategi politik berhubung kemasukan empat ADUN berkenaan ke dalam PKR, ia harus ditentang.

"Peristiwa demi peristiwa dalam perjalanan politik ini telah memberi maksud tersirat dan tersurat kepada kita, nilai dan prinsip teruji dalam kesukaran melawan korupsi, kerakusan, ketidakadilan, pengkhianatan serta kepentingan diri kelompok tertentu demi kuasa dan kedudukan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, bekas ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron memaklumkan beliau dan tiga lagi rakannya, menyerahkan nasib mereka kepada pucuk pimpinan PH sama ada diangkat sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka atau sebaliknya.

Selain Idris, bekas ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee; bekas ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad dan bekas ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan bertindak menarik sokongan terhadap kerajaan negeri Melaka sehingga terbubarnya Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lalu.

Mengulas lanjut, Mohammed Firdaus berkata, penolakan itu juga dibuat berdasarkan kepada prinsip perjuangan parti itu.

Artikel Berkaitan:

Mohammed Firdaus
Mohammed Firdaus

“Ini adalah perjalanan politik yang panjang, semakin lama dalam perjalanan semakin terserlah kepalsuan, kepura-puraan dan ketidaksabaran sesetengah pemimpin yang kononnya mendokong idealisme, kebenaran itu terlalu menyulitkan,” ujarnya.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kedudukan empat bekas ADUN Melaka itu akan dibincangkan dalam mesyuarat pada petang Rabu.

Beliau menyedari ada pihak yang tidak menyenangi sekiranya keempat-empat bekas ADUN itu menjadi calon dalam PRN Melaka pada 20 November depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!