Kerajaan negeri lebih utamakan pekerja warga asing: Pemikir
GEORGETOWN - Pertubuhan Badan Pemikir Melayu Pulau Pinang (Pemikir) menyifatkan tindakan kerajaan negeri meluluskan tiga projek pembinaan asrama pekerja warga asing di Teluk Kumbar seolah-olah lebih mengutamakan warga asing daripada anak tempatan.
Malah pengerusinya, Datuk Sr Dr Muhamad Farid Saad berkata, tindakan itu juga dilihat seperti memberi ruang kepada 'penjajahan baharu' kepada kawasan kampung tradisi selain merosakkan kedamaian kampung, keharmonian kehidupan dan keamanan kehidupan seharian.
Menurutnya, seramai 50,000 pekerja asing bakal tinggal di kawasan kampung yang dihuni sekitar 10,000 penduduk adalah satu ketidakadilan sosial kepada warga negara dan penduduk setempat.
"Sekiranya penempatan warga asing itu dibuka bersebelahan rumah ketua menteri atau barisan Exco adakah aman kehidupan mereka nanti?
"Terlalu banyak faktor kehidupan dan sosial yang negatif akan menghantui penduduk terutama dari aspek kesihatan, keselamatan, kesesakan lalu lintas dan lain-lain kesan sosial...Ini perlu diberi pertimbangan terlebih dahulu sebelum ia diluluskan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan sekumpulan penduduk di sekitar Bayan Lepas, di sini membantah cadangan pembinaan tiga projek asrama pekerja warga asing yang ingin dibangunkan di Teluk Kumbar tidak lama lagi.
Mereka mendakwa projek penempatan asrama pekerja warga asing itu hanya akan mengundang mudarat dan pelbagai masalah pada masa akan datang selain bakal menjejaskan kualiti hidup mereka sebagai penduduk tempatan.
Mengulas lanjut, Muhamad Farid berkata, apa jua pembangunan perlu mengambil kira kesejahteraan masyarakat.
Jelasnya, kehadiran 50,000 pekerja asing sudah pasti tidak akan menjamin dan menghasilkan kesejahteraan penduduk.
"Kelulusan tersebut menunjukkan bahawa pihak kerajaan negeri lebih mengutamakan kerja untuk pekerja asing daripada anak tempatan. Jelas menunjukkan kegagalan pihak kerajaan negeri dalam merancang masa depan anak-anak Pulau Pinang.
"Pasca Pandemik telah menunjukkan pengangguran kes yang tinggi dalam kalangan rakyat tempatan. Mengapa tidak berikan peluang kepada rakyat tempatan atau rakyat diberi latihan semula untuk menyesuaikan kemahiran diri dengan keperluan industri," katanya.
Beliau berkata, tindakan kebergantungan melampau kepada pekerja asing dalam mencorakkan industri masa depan negeri ini tidak langsung menguntungkan perkembangan modal insan negeri serta negara.
"Seharusnya kerajaan negeri bersama-sama dalam membangunkan negeri dengan mengutamakan rakyat tempatan dan bukannya warga asing.
"Ini adalah penting untuk memastikan kemampanan (sustainability) pembangunan negeri," ujarnya.
Dalam pada itu, Muhamad Farid berkata, pihaknya mendesak kerajaan negeri melalui PDC supaya membina asrama untuk 50,000 pekerja asing dalam kawasan yang telah dizonkan sebagai Zon Industri di Batu Kawan yang masih luas dan sedia dibangunkan.
Beliau menggesa agar kerajaan negeri tidak meneruskan pembinaan asrama di kawasan Teluk Kumbar sebaliknya tanah di Kawasan Perindustrian Batu Kawan dipilih dan dibina asrama pekerja.
Katanya, kedudukan tapak di Batu Kawan yang berhampiran jambatan kedua adalah strategik kerana menghubungkan dua kawasan perindustrian.
"Pergerakan bas pekerja dapat diminimumkan dan pencemaran dapat dielakkan. Masa dari tempat tinggal ke tempat kerja juga dapat dijimatkan selain dapat mengelakkan kesesakan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!