Maritim tahan bot nelayan tempatan dikendalikan warga Thailand
GEORGETOWN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan yang dikendalikan 14 warga Thailand selepas disyaki melakukan pelbagai kesalahan pada Selasa.
Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, bot nelayan itu ditahan pada kedudukan kira-kira 10.4 batu nautika barat daya Mukah Head, Pulau Pinang sekitar jam 1.19 petang.
Menurutnya, bot itu dikesan sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan Pulau Pinang oleh Kapal Maritim SIKUATI semasa melaksanakan rondaan rutin OP Benteng Laut.
"Hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan berpangkalan di Pantai Remis, Perak itu dikendalikan 14 kru warga Thailand termasuk tekong berumur dalam lingkungan 37 hingga 74 tahun.
"Pemeriksaan lanjut mendapati, bot terbabit telah melakukan pelbagai kesalahan antaranya lesen bot telah tamat tempoh, permit menggaji warga asing tamat tempoh, empat daripada kru asing memiliki dokumen perjalanan diri yang telah tamat tempoh serta melanggar zon yang dibenarkan untuk penangkapan ikan," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Rabu.
Abd Razak berkata, bot, hasil rampasan ikan seberat satu tan dan kesemua kru ditahan sebelum dibawa di Jeti Polis Marin Batu Uban untuk siasatan lanjut.
Katanya, kesemua mereka turut menjalani saringan Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.
"Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu dokumen perjalanan diri yang telah tamat tempoh," katanya.
Dalam pada itu, Abd Razak mengingatkan kepada semua terutama komuniti nelayan agar mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan tidak akan berkompromi dengan mereka yang sengaja melanggar undang-undang Persekutuan yang sedia ada.
Jelasnya, sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!