Kerajaan PH gagal bela nasib rakyat

Afriz (dua, kanan) ketika menziarahi keluarga yang diusir daripada PPR Taman Manggis dan berteduh di kaki lima berhampiran lobi Komtar.
Afriz (dua, kanan) ketika menziarahi keluarga yang diusir daripada PPR Taman Manggis dan berteduh di kaki lima berhampiran lobi Komtar.
A
A
A

GEORGETOWN - Pengusiran penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis memberikan isyarat yang cukup jelas bahawa agenda kerajaan PH yang kononnya berjiwa rakyat gagal dilaksanakan.

Exco Pemuda UMNO, Afriz Mohd Noor berkata, jika sebelum ini mereka bermegah di seluruh negara bahawa kerajaan PH adalah pilihan terbaik bagi menggantikan sebuah kerajaan yang kononnya mengamalkan dasar kleptokrasi, kini apa yang berlaku Pulau Pinang ini membuktikan satu persatu bahawa mereka bukan pilihan yang terbaik untuk membela nasib rakyat.

Menurutnya, atas apa alasan sekalipun, rakyat adalah aset negara dan sudah tentunya ia perlu ditangani dengan sebaik-baiknya tanpa mengorbankan prinsip kemanusiaan.

"Semua pihak sedia maklum sejak dari semalam sebanyak lapan keluarga yang diusir dari kediaman masing-masing menumpang teduh di pekarangan Komtar yang menjadi pusat pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang.

"Persoalan pertama yang perlu kita fikirkan kenapa penduduk yang diusir itu terpaksa berteduh di persekitaran Komtar? Sudah tentunya kerana mereka terdiri daripada kalangan yang tidak berkemampuan dan miskin apatah lagi tindakan pengusiran itu berlaku dalam keadaan yang cukup menyayat hati," katanya ketika ditemui di sini.

Afriz yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gelugor berkata, keadaan mereka yang terlibat dengan pengusiran berkenaan sudah tentunya terkesan malah emosi pasti bercelaru apatah lagi melihat anak-anak yang tidak berdosa terpaksa tidur di kawasan yang pastinya tidak selesa.

Beliau yang berada di pekarangan Komtar sejak lewat malam semalam bersama keluarga yang terlibat dengan pengusiran itu berkata, tidak ada langsung kelibat mana-mana pemimpin kerajaan negeri magupun pemimpin parti politik dari PH turun padang sekurang-kurangnya mencari jalan penyelesaian bagi lapan keluarga terlibat atau paling tidak menghulurkan sedikit makanan dan minuman kepada mereka.

"Pernahkah pihak kerajaan memikirkan tentang untung nasib mereka ini? Apakah mereka begitu zalim sehingga sanggup melihat lapan keluarga dikalangan orang Melayu dan Islam ini merintih tentang untung nasib mereka ?

Artikel Berkaitan:

"Apa jua tindakan sekalipun, janganlah sampai rakyat akhirnya merempat seolah-olah bumi Malaysia dan Pulau Pinang ini adalah negara yang sedang berantakan," katanya.

Sementara itu, Afriz berkata, penduduk di Pulau Pinang tidak lupa dengan sebidang tanah yang juga di Taman Manggis sepatutnya dibangunkan dengan projek perumahan rakyat.

Namun ia telah dijual oleh kerajaan negeri kepada pihak tertentu bagi projek pembinaan hotel 19 tingkat, enam tingkat hospital persendirian dan lima tingkat tempat letak kereta yang telah mencetuskan kontroversi.

"Hari ini apa berlaku ? Sekiranya projek perumahan rakyat itu diteruskan rasanya perkara seumpama ini mungin dapat dielakkan.

"Peristiwa hitam ini adalah bukti betapa kerajaan sedia ada begitu zalim terhadap rakyat seolah-olah mereka tidak punya hak untuk dibela," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!