Penghantaran e-mail, SMS bukan kebocoran data MySejahtera

MySejahtera
MySejahtera
A
A
A

PUTRAJAYA - Penghantaran e-mail dan khidmat pesanan ringkas (SMS) palsu daripada aplikasi MySejahtera bukan disebabkan oleh kebocoran data.

Sebaliknya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberitahu, siasatan awal Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) mendapati ia berpunca daripada penyalahgunaan 'Application Programming Interface' (API).

"Berikutan tindakan yang tidak bertanggungjawab ini, pasukan MySejahtera telah meningkatkan lagi tahap keselamatan aplikasi dan laman sesawangnya bagi mengelakkan kejadian yang sama daripada berulang," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Kementerian itu berkata, di dalam laman sesawang MySejahtera, terdapat satu ciri atau fungsi pendaftaran MySejahtera Check-In (daftar masuk) untuk perniagaan, premis, pengangkutan awam dan lain-lain mendapat dan memaparkan kod QR MySejahtera.

"Untuk melengkapkan permohonan tersebut, pemohon antara lain perlu memasukkan maklumat seperti alamat emel atau nombor telefon bagi mendapatkan OTP," katanya.

Susulan aduan yang diterima, KKM berkata, pasukan MySejahtera telah melakukan siasatan awal serta tindakan-tindakan perlu.

"Fungsi permohonan pendaftaran kod QR MySejahtera Check-in tersebut telah disalah guna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Pihak yang berkenaan telah menggunakan alamat emel atau nombor telefon secara rawak untuk melakukan proses pendaftaran," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujar KKM, sekiranya nombor telefon atau alamat emel yang dimasukkan secara rawak itu wujud, MySejahtera akan menghantar kata laluan sekali guna (OTP) kepada pemilik nombor telefon atau alamat emel bagi mengesahkan pendaftaran tersebut.

"Selain itu, fungsi Need Help? di dalam laman web yang sama juga telah disalah guna untuk menghantar emel spam secara rawak," katanya.

Warganet menyuarakan kebimbangan mereka selepas menerima SMS OTP di awal pagi sedangkan pada waktu itu mereka sedang tidur.

Tidak hanya setakat itu, sebahagian pengguna MySejahtera mendakwa menerima pesanan jenaka bahawa mereka positif Covid-19 sekali gus menyebabkan tanda pagar MySejahtera menjadi trending di Twitter sejak Selasa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!