Kenderaan terkandas, laluan dinaiki air
SERI ISKANDAR - Puluhan kenderaan terkandas di Lebuhraya Ipoh-Lumut berhampiran Rancangan Perumahan Awam (RPA) Changkat Sodang di sini akibat banjir kilat pada Rabu.
Kejadian sekitar jam 4.45 petang itu berlaku selepas laluan berkenaan dinaiki air sedalam hampir satu meter.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, hujan lebat selama beberapa jam menyebabkan air dari bukit berdekatan melimpah di kawasan itu.
Menurutnya, keadaan itu mengakibatkan laluan menghala ke arah Lumut terhalang dengan aliran trafik bergerak perlahan sepanjang 1.5 kilometer.
"Laluan arah Lumut ini telah ditutup atas faktor keselamatan dan laluan kontra dibuka bermula jam 5 petang tadi menghala ke Seri Iskandar bagi mengelak kesesakan lebih teruk.
"Setakat ini, aliran trafik terkawal dengan pemantauan anggota polis yang ditempatkan di situ," katanya ketika dihubungi pemberita pada Rabu.
Beliau berkata, setakat jam 7 malam, hujan masih lebat dan orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika melalui laluan berkenaan dengan mematuhi arahan lalu lintas diberikan.
"Kejadian seperti ini sudah berlaku beberapa kali sebelum ini tetapi tidak mengambil masa lama untuk surut cuma kali ini keadaannya agak lama," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!