Mayat dua pekerja pembersihan ditemui dalam rumah

Mayat seorang lelaki dan wanita ditemui di sebuah rumah di Blok B PPR Sri Semarak, Setapak Jaya pada Isnin.Gambar hiasan
Mayat seorang lelaki dan wanita ditemui di sebuah rumah di Blok B PPR Sri Semarak, Setapak Jaya pada Isnin.Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mayat seorang lelaki dan wanita ditemui di sebuah rumah di Blok B PPR Sri Semarak, Setapak Jaya pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 11 pagi daripada orang awam.

"Berdasarkan maklumat yang diterima, pihak polis kemudiannya menuju ke lokasi dan menerima bantuan daripada pihak bomba untuk memecahkan pintu utama memandangkan rumah mangsa terkunci dari dalam.

"Pihak polis menemukan mayat lelaki berumur 50 tahun ditemui dalam keadaan terbaring di ruang tamu manakala mayat kedua seorang wanita berumur 51 tahun ditemui dalam bilik utama dalam keadaan terbaring atas katil," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, siasatan yang dijalankan dan hasil pemeriksaan pada badan kedua mangsa tidak menemukan sebarang unsur jenayah.

"Siasatan dijalankan mendapati kedua mangsa bekerja sebagai pekerja pembersihan.

"Kedua mangsa juga tidak hadir bekerja pada hari ini menyebabkan rakan mangsa telah menghubungi mangsa tetapi gagal dan telah pergi ke kediaman mangsa serta mendapati pintu rumah terkunci dari dalam," katanya.

Menurutnya, siasatan dijalankan turut mendapati mangsa kali terakhir dilihat oleh jirannya pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

"Kedua mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!