Selangor peneraju kemahiran tinggi

A
A
A

PERKARA yang paling membosankan dalam kehidupan adalah menunggu seseorang, atau pesawat menuju ke sesuatu destinasi tertentu. Isnin lalu, penulis menghabiskan lebih 7 jam di Heathrow, London – antara lapangan terbang paling sibuk di dunia.

Penulis dalam perjalanan ke Berlin, Jerman bersama delegasi Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari yang mahu melawat rakan industri dan beberapa pusat latihan kemahiran teknikal serta vokasional (TVET) di negara tersebut.

Sepanjang berada di Heathrow, penulis melihat kapal terbang saling bergantian mendarat dan berlepas selang setiap minit berterusan tanpa putusnya, sekali gus menimbulkan persoalan tentang cara ia diurus dengan cekap. Penulis mencongak 1,400 penerbangan sehari memberikan jumlah anggaran 500,000 penerbangan setahun.

Tekaan penulis tidak meleset kerana laporan menyatakan Heathrow melakukan 480,339 penerbangan setahun pada 2017 dan meningkat 2.7 peratus pada 2018 iaitu 493,308 penerbangan melibatkan lebih 90 juta penumpang setahun.

Penulis perhatikan hanya seorang pekerja sahaja menyelesaikan ‘groundworks’ bagi setiap pesawat. Penulis kagum dengan pencapaian Heathrow.

Apabila bercakap tentang kecekapan, penulis bersama delegasi Menteri Besar Selangor ke Jerman bermula Isnin lalu sehingga 13 Mac nanti. Penulis diberi tugas khas bagi mengkaji dan melaksana sistem TVET sejajar era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) sekali gus memperkasakan program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Selangor (IKTISASS).

Sepanjang di Berlin, kami akan mengadakan sesi lawatan kerja dan perbincangan dengan beberapa industri konglomerat dan pusat latihan industri di Jerman seperti European Schools of Management and Technology (ESMT) di Berlin, Federal Institute for Vocational Education and Training (BIBB) di Bonn Cologne, Technical University of Munich (TUM) dan BMW di Munich.

Menteri Besar sangat bersemangat untuk memberi impak dan kekuatan segera untuk mengangkat martabat Selangor sebagai negeri maju nombor satu di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Saranan Amirudin yang mahu menjadikan Selangor negeri maju sesuai perintah ALLAH SWT dalam Surah Al-Mulk [67:15] bermaksud: “Dialah Yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, maka berjalanlah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezeki-Nya. Dan hanya kepada-Nya lah kamu (kembali setelah) dibangkitkan.”

Jelas, dunia ini adalah satu hamparan luas terbentang dan ALLAH menggalakkan umat manusia merantau jauh untuk mencari pengalaman bagi dijadikan pengajaran dan panduan. Perumpamaan dan saranan orang terdahulu ‘jauh perjalanan luas pemandangan’ harus diperincikan bukan sahaja dengan hanya pemandangan dengan mata kasar tetapi harus dikaji apa yang dipandang untuk kebaikan orang lain.

Kembali kepada persoalan Heathrow. Kini bukan saja Britain yang berjaya tetapi Fiji – sebuah pulau di tengah Lautan Pasifik Selatan juga telah melakukan kejutan mahu menerajui teknologi Sistem Penentu dudukan Global (GPS) dalam pengaplikasian sistem pengawalan penerbangan udara.

Khabarnya, pendaratan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Nadi (NADI) Fiji dalam perjalanan dari Sydney, Australia dikatakan sangat luar biasa. Selepas beribu kilometer menempuh penerbangan tiada apa-apa boleh dilihat kecuali air laut yang mengandungi terumbu karang, pulau bergunung berapi permukaannya hijau dan berbatu sekali gus membayangkan betapa terpencilnya Fiji. Jelas sekali bukan mudah untuk mendarat di NADI.

Namun, para jurutera FIJI telah mengoptimumkan teknologi GPS dengan mengaktifkan aplikasi tersebut dalam ruang udara Fiji dan pulau-pulau di sekelilingnya. Dalam erti kaya lain, sistem penentu dudukan global telah digabung dalam sistem penerbangan di NADI. Inilah kali pertama aplikasi GPS digunakan untuk penerbangan awam pertama di dunia. Kini, Fiji berubah sebagai sebuah negara yang disegani dalam era sistem pengangkutan awam udara.

Dengan industri pelancongan yang semakin meningkat, kini Fiji terus menerima permintaan pendaratan penerbangan serantau. Negara pulau kecil itu bersemangat untuk memperbaiki sistem navigasinya. Ketua Pegawai Eksekutif Awam Penerbangan Awam Fiji (CAAF), Norman Yee dengan kerjasama pegawai operasi penerbangan kelahiran New Zealand, Jack Snow membangunkan teknologi GPS untuk aplikasi pengawalan penerbangan udara itu.

Sebagai sebuah negara kecil di tengah lautan yang luas, Fiji kini diangkat sebagai perintis industri penerbangan domestik yang efisien dan berkembang pesat. Ia memiliki 19 lapangan terbang komersial dan 7 lapangan terbang swasta di sekitar lebih 300 pulau berselerak di dalam lingkungan lebih kurang 500,000 km persegi di Lautan Pasifik Selatan, menjadikan laluan penerbangan tercetus setiap 10 minit hingga 18 minit dan semuanya dikawal dalam ruang udara tunggal.

Fenomena ini sesuai dengan pesanan ALLAH dalam Surah Al-Hajj [22:46] supaya kita melihat sesuatu perkara atau kejadian di sekeliling dengan mata hati bukan dengan mata kasar sebagaimana maksud Firman-Nya “Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta, ialah hati yang di dalam dada.”

ALLAH memberi peringatan kepada kita sejak Nabi Adam lagi supaya menyampaikan setiap sesuatu yang ALLAH beri kefahaman kepada orang lain bagi dimanfaatkan sebagaimana Firman-Nya dalam Surah Al-Baqara [2:33] yang maksudnya: “Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka”. Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, ALLAH berfirman: “Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?”

Kesimpulannya, penulis percaya saiz sesebuah negara bukan penentu kejayaan dalam bidang teknologi. Penulis percaya Selangor akan menjadi sebuah negeri maju yang sukar ditandingi dalam masa terdekat. Dengan mengambil kira semangat Fiji, penulis percaya Selangor akan muncul sebagai penjana utama para profesional berkemahiran dalam sektor industri termaju di Malaysia.

* Penulis ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor (UNISEL)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!