Pejuang tidak tandatangani MoU kerana bimbang wujud timbal balas

Mukhriz. - FOTO: SINAR HARIAN / ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Mukhriz. - FOTO: SINAR HARIAN / ASRIL ASWANDI SHUKOR.
A
A
A

SHAH ALAM - Pendirian Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk tidak menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dengan kerajaan bukan disebabkan menganggap ia satu bentuk rasuah.

Sebaliknya, Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata, ia dibimbangi akan wujud timbal balas.

"Keputusan Pejuang untuk tidak tandatangani MoU (dengan kerajaan) itu sebenarnya bukannya kita anggap satu bentuk rasuah tetapi apa yang kita bimbangi adalah (jika) ada unsur timbal balas.

"Timbal balas ini tidaklah sampai ke tahap yang kita boleh kata rasuah. Rasuah itu agak kuat istilah," katanya ketika menjadi panelis tetamu Kompas bertajuk Akta Pendanaan Politik, Solusi Intergriti di Kumpulan Karangkraf di sini pada malam Rabu.

Program yang berlangsung kira-kira sejam itu turut menampilkan Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Tricia Yeoh, manakala Nurhayati Nordin selaku moderator.

Dari kiri Nurhayati Nordin selaku Moderator, para panelis, Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub (dua kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Tricia Yeoh (kanan) dan Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Utama Mukhriz Mahathir yang berlangsung di Studio Sinar Harian, Seksyen 15, Shah Alam. - FOTO - SINAR HARIAN / ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Dari kiri Nurhayati Nordin selaku Moderator, para panelis, Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub (dua kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Tricia Yeoh (kanan) dan Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Utama Mukhriz Mahathir yang berlangsung di Studio Sinar Harian, Seksyen 15, Shah Alam. - FOTO - SINAR HARIAN / ASRIL ASWANDI SHUKOR.

Sementara itu, menyentuh mengenai sumbangan politik atau pendanaan politik, Mukhriz berkata, ia bukan bukan satu masalah tetapi sistemnya perlu ditambah baik.

Sebagai contoh katanya, ketelusan antara pemberi dan penerima perlu diberikan penekanan bagi memastikan sumbangan itu tidak disalah guna.

Artikel Berkaitan:

"Kita rasakan bahawa dalam soal pendanaan politik ini mahu tidak mahu parti politik ini mestilah bergerak dan dalam hendak bergerak ini ia makan belanja," katanya.

Tambahnya, terdapat beberapa cara untuk sesebuah parti politik mengumpul dana antaranya melalui yuran keahlian, namun jumlahnya tidak mampu menampung perbelanjaan untuk aktiviti politik.

"Jadi kalau itu boleh dilakukan (wujud ketelusan antara penerima dan pemberi), saya rasa pendanaan politik ini tidaklah menimbulkan masalah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!