Enam GRO pusat hiburan ditahan
PUCHONG - Seramai enam orang pelayan di sebuah pusat hiburan sekitar Jalan Layang-Layang, Bandar Baru Puchong ditahan dalam Ops Noda yang dilaksanakan oleh Unit Anti-Maksiat, Perjudian dan Gangsterisme (D7) Selangor, semalam.
Ketua operasi, Asisten Superitenden Rozam Effandy Raslee berkata selain itu, pihaknya turut menahan seorang lelaki dipercayai penjaga pusat hiburan terbabit bersama sembilan pekerja warga asing menerusi operasi yang bermula pada jam 1.50 pagi itu.
Rozam berkata, kesemua pelayan yang ditahan itu berusia lingkungan 21-26 tahun dan dipercayai menetap di negara ini dalam tempoh tiga bulan.
"Pelayan yang ditahan ini dipercayai berkhidmat sebagai GRO bagi menemani pelanggan yang datang untuk karaoke di pusat hiburan ini," katanya.
Menerusi siasatan awal yang dijalankan, Rozam berkata premis terbabit juga didapati beroperasi secara haram berikutan tidak memiliki sebarang lesen hiburan bagi menjalankan aktiviti tersebut.
Beliau berkata, pihaknya turut merampas wang tunai bernilai RM2,629, sembilan botal cecair dipercayai dadah jenis ecstasy serta sembilan peket serbuk dipercayai ecstasy dan beberapa barangan lain.
"Semua individu yang ditahan dan barang rampasan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk siasatan lanjut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!