Tak payah gaduh-gaduh nak balik kampung
DENGAR cerita lebuh raya kembali ‘meriah’ sejak minggu lalu. Dikhabarkan juga aliran trafik meningkat kepada empat juta kenderaan sehari sepanjang cuti hujung minggu. Sebabnya masing-masing nak balik kampung.
Merak Jalanan dah agak aura balik kampung ini bukan ‘biasa-biasa’. Tak mustahil kenderaan akan penuh atas lebuh raya setiap minggu selepas ini. Mungkin pada hari bekerja pun kenderaan tetap memenuhi lebuh raya – tak kira ke utara, timur mahupun selatan.
Sejak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan perjalanan rentas negeri dibenarkan mulai 11 Oktober, semua pihak terutama golongan perantau bersorak gembira. Berita itu yang ditunggu-tunggu mereka selepas berbulan ‘dikurung’ di rumah.
Memang luar biasa perasaannya, dah macam nak sambut raya. Tetapi buat masa ini, Merak Jalanan belum ada perancangan balik kampung, mental tak cukup kuat nak hadap kesesakan atas lebuh raya.
Bagi pasangan suami isteri, cerita balik kampung pada musim Covid-19 mungkin lain skripnya. Tak sama cerita balik kampung masa raya. Merak Jalanan percaya penggiliran balik kampung itu mungkin sudah ada sejak mereka berkahwin.
Tetapi nak balik kampung musim Covid-19 lain. Khabarnya ada yang ‘gaduh manja’ nak pilih balik kampung sendiri atau keluarga mentua. Maklumlah dah hampir 10 bulan ‘berkurung’ disebabkan perintah larangan sekatan rentas negeri dikuatkuasakan tahun ini.
Dalam menangani hal ini, elok sang suami serah saja keputusan kepada isteri. Tak payah guna kuasa veto walaupun ‘beras kita beli’. Usah dilawan dengan apa yang telah ditetapkan sang isteri kerana mereka sentiasa betul.
Satu saja pesan Merak Jalanan, dalam kita bergembira merentas negeri, jangan kita lupa soal prosedur operasi standard (SOP). Kena ingat kita sekarang ‘hidup’ dengan virus Covid-19. Jadi selalulah beringat jaga SOP.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!