Mula guna sendiri, akhir jadi bisnes
HULU TERENGGANU - Siapa sangka, hanya mencuba madu kelulut disebabkan masalah kesihatan dihadapi, kini bergelar antara seorang pengusaha madu kelulut yang berjaya di negeri ini.
Anak tempatan dari Kampung Machang, di sini, Suhaimi Salleh, 46 berkata, dia langsung tidak terfikir akan berkecimpung dalam perusahaan madu kelulut kerana tidak mempunyai ilmu dalam bidang tersebut.
“Sebenarnya, perkara ini bermula pada 2016, semasa itu saya menanggung masalah batuk berterusan dan saya sudah mencuba pelbagai jenis ubat yang dibekalkan hampir di semua klinik tetapi tidak berhasil.
“Ketika itu ramai yang memberi pelbagai petua untuk saya mencuba mengubati penyakit batuk ini antaranya termasuk minum madu kelulut dan selepas beberapa kali saya mencuba, Alhamdulillah penyakit batuk yang ditanggung hampir setahun hilang.
“Melihat kesan positif, saya terus berminat dan cuba membeli satu sarang kelulut bertujuan memastikan stok madu kelulut di rumah untuk dijadikan ubat tidak putus,” katanya kepada Sinar Harian.
Jelas Suhaimi, di peringkat awal, dia langsung tidak tahu yang tindakannya mengumpul sarang kelulut, boleh dijadikan sumber pendapatan lumayan.
“Ketika itu, saya cuma tahu hendak membeli sarang kelulut yang banyak hanya untuk mendapatkan bekalan madu untuk dibuat ubat batuk semata-mata, tanpa langsung tidak terfikir yang tindakan ini boleh dijadikan sumber pendapatan juga.
“Sehinggalah pada 2017, saya baru berjinak secara langsung menjadi perusahaan madu kelulut selepas ada orang datang ke rumah hendak membeli koleksi sarang kelulut yang ada, baru saya tahu rupanya ia boleh dijadikan sumber pendapatan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!