MOSTI fokus perkasa teknologi kenderaan elektrik tempatan
SHAH ALAM - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) terus memperkasakan pembangunan, validasi dan pengkomersialan pembangunan teknologi kenderaan elektrik (EV) tempatan bagi memenuhi agenda kelestarian mobiliti negara.
Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, ia bertepatan dengan Rangka Kerja 10-10 Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (MySTIE 10-10) iaitu inisiatif yang menyokong Dasar Sains, Teknologi Dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030.
Jelasnya, aspirasi EV turut mengambil kira fokus yang terkandung dalam Dasar Automotif Negara (NAP) 2020, Dasar Pengangkutan Negara (NTP) 2019-2030 dan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030.
"MOSTI melalui NanoMalaysia sebagai agensi pelaksana akan memberi penekanan kepada pembangunan ekonomi yang seimbang dan kelestarian mobiliti.
"Satu pelan tindakan telah disediakan yang memberi tumpuan kepada industri tempatan melalui pemberian geran penyelidikan dan pembangunan (R&D) terutamanya industri dan perusahaan tempatan berlandaskan EV.
"Aspek penting ini dapat memacu pertumbuhan ekonomi dan penjanaan pekerjaan selari dengan aspirasi untuk menjadikan Malaysia negara berteknologi tinggi dan berpendapatan tinggi menjelang 2030," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Pada Rabu, Pengasas TGT Automotive Solution Sdn Bhd Kevin Tham dilaporkan berkata, sejajar dengan peranan EV sebagai instrumen pengubah dalam industri automotif yang matang, Malaysia tiada pilihan kecuali bertindak untuk memperhebatkan lagi penglibatannya dalam sektor terbabit.
Katanya, ia bertepatan dengan kedudukan Malaysia yang telah menceburi industri elektrikal dan elektronik (E&E) sejak lebih 50 tahun lamanya, malah merupakan pengeksport terbesar litar bersepadu (IC) automotif di peringkat dunia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!