Anak tak mengaku salah ugut ibu
KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini atas pertuduhan mengugut ibunya sendiri kerana enggan memberikan wang seperti yang dimintanya.
Tertuduh, Muhammad Syakir Afiq Mohamad@Fauzi, 20, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim, selepas pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah itu dibacakan terhadapnya.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengugut menggunakan kata-kata kepada ibunya yang berusia 41 tahun, dengan niat menimbulkan rasa takut di sebuah rumah di Seberang Takir, Kuala Nerus, pada 11 Februari lalu, jam 8 malam.
Jika sabit kesalahan, dia berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 30 Jun depan dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Inspektor Chia Bih Huah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!