Hampir 3,000 pengunjung serbu PKGK Kuala Gandah
TEMERLOH - Kira-kira 3,000 pengunjung mengunjungi Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah di Lanchang walaupun tiada persembahan gajah diadakan selepas ia mula dibuka secara rasmi pada 12 Oktober lalu.
Ketua PKGK Kuala Gandah, Che Ku Mohd Zamzuri Chik Wan Ab Rahman berkata, aktiviti itu tidak diadakan untuk mengelakkan pengunjung berkumpul.
"Pada hujung minggu lalu iaitu 16 dan 17 Oktober, hampir 3,000 orang tidak melepaskan peluang mengunjungi PKGK terbabit. Namun, aktiviti memandikan gajah di dalam sungai masih dijalankan tetapi dipantau oleh petugas.
"Selain itu, pengunjung berpeluang melihat gelagat haiwan ini serta melawat galeri atau muzium gajah yang terdapat di sini," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Ujarnya, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dititikberatkan di pusat tersebut.
"Antaranya hanya membenarkan 150 pengunjung pada satu masa selain lengkap dua dos vaksin dan penjarakan fizikal serta pemakaian pelitup muka," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berharap pengunjung terus mematuhi SOP ditetapkan untuk mengelakkan jangkitan Covid-19.
Terdapat 20 ekor gajah dewasa dan 11 lagi membabitkan anak-anak gajah ditempatkan di pusat tersebut.
Operasi PKGK Kuala Gandah bermula 10.30 pagi hingga 4.30 petang setiap hari dan pengunjung tidak dikenakan sebarang bayaran kecuali menggunakan khidmat pemandu pelancong.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!