MDHS kini berstatus Majlis Perbandaran

Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS)
Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS)
A
A
A

HULU SELANGOR - Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) kini dikenali sebagai Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) selepas perakuan status baharu itu mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penaiktarafan status perbandaran di Hulu Selangor itu bakal membawa dimensi baharu dalam sistem tadbir urus kerajaan tempatan dan membolehkan potensi pelaburan lebih tinggi bagi melonjakkan sektor pelancongan dan industri setempat.

Amirudin berkata, Hulu Selangor akan ditadbir sebagai sebuah perbandaran dengan sistem penyampaian yang setara termasuk pembangunan infrastruktur lengkap, mampan dan berdaya tahan.

"Penaiktarafan sebagai perbandaran ini juga akan meningkatkan harapan dan jangkaan pelbagai pihak dan oleh sebab itu semua warga kerja harus menangani cabaran mendatang dan menggembleng usaha bagi memantapkan kualiti perkhidmatan buat rakyat," katanya ketika berucap sewaktu Majlis Menjunjung Titah Sultan Selangor Bagi Pengisytiharan MPHS yang berlangsung secara dalam talian, pada Khamis.

Amirudin (dua dari kiri) dan Mohd Hasry (dua dari kanan) membuat gimik pelancaran sewaktu Majlis Menjunjung Titah Sultan Selangor Bagi Pengisytiharan MPHS yang berlangsung secara dalam talian, pada Khamis.
Amirudin (dua dari kiri) dan Mohd Hasry (dua dari kanan) membuat gimik pelancaran sewaktu Majlis Menjunjung Titah Sultan Selangor Bagi Pengisytiharan MPHS yang berlangsung secara dalam talian, pada Khamis.



Turut sama bagi mengikuti majlis itu adalah Yang Dipertua MPHS, Mohd Hasry Nor Mohd; Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Nor Azmi Diron; Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han dan beberapa tetamu kehormat lain.

Dalam pada itu, Mohd Hasry sewaktu menyampai ucapan pembukaan berkata, selaras dengan Matlamat Pembangunan Rancangan Tempatan Daerah Hulu Selangor 2035, enam inisiatif utama telah digariskan bagi menjadikan kawasan perbandaran itu sebagai sebuah bandar mampan yang berdaya huni dan berdaya tahan.

"Enam inisiatif utama itu merangkumi Pengekalan Sumber Semulajadi Warisan, Persekitaran Komuniti Lestari; Penerapan Konsep Pembangunan Pintar, Sistem Perhubungan Jalan Raya dan Infrastruktur Efisien, Penawaran Pakej Pelaburan Menarik dan Pembangunan Modal Insan Yang Efektif," katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Hasry berkata, MDHS sebelum ini juga telah menjadi pelopor dan perintis kepada beberapa inisiatif yang diiktiraf bukan sahaja di peringkat negeri malah juga antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, pihaknya berharap penaiktarafan status perbandaran itu akan memberi impak positif kepada semua penduduk merangkumi pelbagai segmen seperti kemudahan infrastruktur, peluang ekonomi, pengurusan sumber alam dan pembangunan komuniti.

"Kejayaan MDHS dinaik taraf sebagai perbandaran ini adalah sebahagian komitmen daripada semua pihak," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!