Air percuma: Johor peruntuk RM2.6j dalam masa dua bulan
Exco Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse berkata, bantuan berkenaan membabitkan 327,207 penerima untuk kedua-dua bulan itu.
"Seramai 161,215 penerima skim pemberian air percuma pada bulan September membabitkan peruntukan lebih RM1.2 juta.
"Manakala, pada bulan Oktober pula melibatkan 165,992 penerima skim pemberian air percuma dengan lebih RM1.3 juta peruntukan telah disalurkan oleh kerajaan negeri," katanya.
Jimmy (PH-Bukit Batu) berkata demikian ketika menjawab soalan Abd Taib Abu Bakar (BN-Machap), Yeo Tung Siong (PH-Pekan Nenas) dan Zaiton Ismail (BN-Sungai Balang) tentang statistik air percuma dan berapa kos yang ditanggung kerajaan negeri semasa persidangan Dewan Negeri Johor yang ke-14 di Kota Iskandar, di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, pemberian air percuma 10 meter padu adalah sebanyak 205, 549 pada bulan September manakala bulan berikutnya meningkat kepada 205, 926 akaun.
"Peningkatan ini adalah disebabkan permohonan baharu yang diterima oleh kerajaan dan kita menjangkakan jumlahnya bertambah dari semasa ke semasa.
"Walau bagaimanapun, penerima air percuma 10 meter padu hanya layak menerima pemberian ini sekiranya penggunaan air bulanan mereka adalah 35 meter padu dan ke bawah.
"Ini bermakna, jika mereka melebihi jumlah itu, mereka tidak akan layak menerima air percuma ini walaupun dalam golongan awal yang layak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!